Banjir: 54 Sekolah Terjejas
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

22 Februari 2026
KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengesahkan sebanyak 54 sekolah termasuk dua sekolah menengah di sekitar daerah Pitas, Beluran dan Sipitang terjejas akibat banjir.
Susulan itu, keseluruhan seramai 5,730 pelajar dan 629 terdiri daripada guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) turut terjejas.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, sekolah paling banyak terjejas adalah di daerah Beluran iaitu sebanyak 16 sekolah rendah.

Katanya, ia melibatkan 2,575 murid dan 306 guru serta AKP yang dilanda banjir sejak beberapa hari lalu.
“Selain itu, enam sekolah di daerah Pitas melibatkan 2,029 pelajar dan 216 guru dan 29 AKP turut dinaiki air manakala empat sekolah di daerah ini turut dilaporkan terputus hubungan jalan.
“Empat sekolah iaitu merangkumi tiga sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah ini melibatkan seramai 1,068 murid, 84 guru dan 13 AKP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Raisin berkata, bagi daerah Sipitang, sebuah sekolah dilaporkan terjejas banjir membabitkan 58 murid dan 10 guru.
Sementara itu, Raisin berkata, pihaknya telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan kelas ganti.
Katanya, pemantauan rapi akan dilaksanakan terhadap pelaksanaan sesi persekolahan murid yang terjejas banjir.















Comments