top of page

Banjir di India: Rakyat Malaysia terkandas dibawa pulang dengan penerbangan terawal

  • nabalunews
  • Aug 28, 2025
  • 1 min read

28 Ogos 2025


PUTRAJAYA: Malaysia sedang mengatur kepulangan rakyat negara ini yang terkandas di utara India melalui penerbangan terawal susulan banjir dan tanah runtuh di wilayah berkenaan.


Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sedang memantau rapi keadaan selepas banjir besar dan tanah runtuh melanda beberapa negeri di utara India termasuk Jammu dan Kashmir, Himachal Pradesh, Punjab dan Arunachal Pradesh.


“Suruhanjaya Tinggi telah menerima laporan mengenai rakyat Malaysia yang terkandas di Jammu serta Leh, Ladakh.


“Suruhanjaya Tinggi berjaya menghubungi mereka dan sedang mengatur kepulangan mereka dengan penerbangan terawal yang tersedia,” menurut kenyataan itu.


Menurut Kementerian Luar, berikutan keadaan yang semakin buruk, rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan perjalanan tidak penting ke kawasan terjejas sehingga dimaklumkan kelak.


Dalam pada itu, kementerian turut menggesa rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas agar mendaftar kehadiran serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.


“Kementerian akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memberikan perkembangan dari semasa ke semasa.


“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara kekal sebagai keutamaan Kementerian,” jelas kenyataan itu.


Bagi mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia di India boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi di talian +91-11-2415 9300/ +91-11-2688 1538/ +91-11-2415 9311 (Konsular), atau melalui e-mel di mwdelhi@kln.gov.my.


Media melaporkan sekurang-kurangnya 41 orang terkorban dalam kejadian banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat luar biasa yang melanda wilayah Himalaya India, Jammu dan Kashmir sejak Rabu lalu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page