top of page

Banjir Musnahkan Harta, Hanyutkan Rumah Di Kampung Sungoi Darat

  • nabalunews
  • 17 hours ago
  • 2 min read

8 Januari 2026


KOTA MARUDU: Bencana banjir yang melanda Kampung Sungoi Darat pada awal Januari telah mengakibatkan kerosakan harta benda dan menggangu kehidupan puluhan keluarga penduduk setempat. Sebagai tindak balas segera, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Cawangan Bandau telah menghantar rombongan bantuan ke lokasi pada 7 Januari 2026.


Rombongan tersebut diketuai oleh Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO Bandau, Suzie Salapan, bersama-sama dengan ahli jawatankuasa UPKO Bahagian Kota Marudu. Lawatan bertujuan untuk menyampaikan bantuan keperluan asas dan memberi sokongan moral kepada mangsa yang terjejas teruk.


"Kami menyaksikan sendiri keadaan yang mencabar di sini. Beberapa keluarga kehilangan tempat tinggal dan harta benda, dan terpaksa memulakan kehidupan baru dengan serba kekurangan," jelas Suzie.

"Bantuan awal ini telah disalurkan kepada lima keluarga paling terjejas. Kami mengambil maklum bahawa masih terdapat mangsa lain yang memerlukan perhatian, dan sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk memastikan bantuan seterusnya dapat disampaikan." tambah beliau.


Dalam lawatan yang sama, turut hadir rombongan dari Parti Warisan Kawasan Parlimen P.168 yang diketuai oleh Mtee Majamis Timbong dan Kunsiong Loting. Kehadiran bersama kedua-dua pihak ini menggambarkan semangat kerjasama dan keprihatinan masyarakat dalam menghadapi musibah, mengutamakan keperluan mangsa melebihi perbezaan lain.


Menurut laporan awal, banjir tersebut telah menyebabkan kerosakan terhadap infrastruktur kampung dan meranapkan sebuah rumah yang dihanyutkan arus deras. Kejadian ini bukan sahaja mendatangkan kerugian material, tetapi juga menjejaskan kestabilan emosi dan kehidupan harian mangsa.

UPKO CLC N6 Bandau dalam satu kenyataan menyatakan sokongan dan doa mereka kepada semua mangsa banjir.


"Kami berharap mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini. Pada masa yang sama, kami mengalu-alukan sumbangan dan kerjasama berterusan daripada semua pihak untuk membantu proses pemulihan," ujar Suzie.


Diharapkan usaha bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak dapat diteruskan bagi memastikan keperluan mangsa dipenuhi dan proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page