Banjir Sabah: Anwar zahir dukacita, mohon peduduk utamakan keselamatan
- nabalunews
- Sep 12
- 1 min read

12 September 2025
KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dengan situasi banjir yang semakin memburuk di Sabah, khususnya di daerah Penampang dan Beaufort.
Setakat pagi tadi, lebih 400 mangsa dilaporkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan hujan lebat yang melanda kawasan tersebut.
"Saya mohon penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah apabila diarahkan kerana keselamatan nyawa keluarga adalah keutamaan," katanya menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.
Anwar turut menggesa pihak berkuasa dan agensi keselamatan agar meneruskan serta meningkatkan usaha menyelamat, selain memastikan kebajikan mangsa banjir diberi perhatian sewajarnya.
“Pastikan keperluan asas mangsa dipenuhi dan berikan perlindungan terbaik sehingga keadaan kembali pulih. Doa kami sentiasa bersama kalian,” katanya.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Penampang malam tadi mengeluarkan pengisytiharan bencana berikutan banjir melanda daerah itu akibat hujan lebat petang semalam.
Terdahulu, Beaufort diisytiharkan sebagai kawasan bencana selepas banjir melanda daerah itu akibat hujan lebat berterusan pada Selasa.


















Comments