Bank Rakyat sampaikan bantuan Kasih Wira Negara Lahad Datu kepada waris keluarga
19 November 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
RANAU: Bank Rakyat, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyampaikan sumbangan Program Kasih Wira Negara kepada tiga waris perwira Polis Diraja Malaysia yang terkorban dalam insiden pertempuran di Lahad Datu, pada tahun 2013.
Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick sempena perasmian cawangan baharu Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change, di Bank Rakyat Ranau, hari ini.
Ewon berkata, bantuan itu sebagai pengiktirafan terhadap keberanian dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan negara.
“Walaupun sudah sedekad insiden ini berlaku, namun pengorbanan mereka tidak seharusnya kita lupakan.
“Semoga dengan sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban serta memberi sokongan dan keceriaan kepada para waris,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Ewon berkata, meskipun pengorbanan wira negara tidak ternilai harganya, beliau berharap agar sumbangan itu dapat membantu meringankan beban dan memberi sokongan moral kepada para waris.
“Sesungguhnya, pengorbanan dan keberanian perwira negara kita tidak akan pernah dilupakan,” katanya.
Turut hadir Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman dan ketua-ketua agensi di bawah kementerian.
Comentários