top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bank Rakyat umum dividen 15 peratus




30 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen 15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dengan jumlah pembayaran sebanyak RM426.77 juta kepada 799,511 anggotanya yang layak.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pembayaran dividen itu akan bermula 30 Mac (hari ini).


Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Pengurusan serta seluruh warga kerja Bank Rakyat atas kejayaan merekodkan pencapaian memberangsangkan meskipun sektor perbankan dilanda pelbagai cabaran pada 2022.


“Bank Rakyat masih lagi mengekalkan prestasi kadar dividen berjumlah dua digit untuk tempoh lebih 30 tahun. Syabas dan tahniah atas pencapaian dan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Bank Rakyat setelah hampir lebih tiga dekad.



“Saya percaya pencapaian ini adalah hasil komitmen Bank Rakyat untuk mencapai mandat yang dipertanggungjawab bagi memperkasa kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengumumkan dividen Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun berakhir 31 Disember 2022, di Bank Rakyat, di sini, hari ini.


Ewon berkata, selain itu, Kumpulan Bank Rakyat turut meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak 2 peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM33.57 juta disumbang kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan 1 peratus bersamaan RM16.78 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.


“Jumlah sumbangan bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM50.35 juta.



“Saya berharap dengan penerimaan dividen ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi anggota dalam mengharungi pascapandemik COVID-19 di samping membantu anggota dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya.


Turut hadir, pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman.


Comentários


bottom of page