Bantuan Peralatan Pendidikan SK, Semai Semangat Kebersamaan dan Harapan Baharu- Dennison
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

6 November 2025
KOTA KINABALU: Program Bantuan Peralatan Pendidikan anjuran Persatuan Keusahawanan Cekap Sabah (PKCS) dengan kerjasama Yayasan KOSMA menyemai semangat kebersamaan dan harapan baharu kepada semua.
Bendahari Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dennison R Indang berkata, penganjuran program ini mencerminkan semangat untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir disebabkan kekangan kewangan, terutamanya di kawasan bandar seperti Tanjung Aru.
Katanya, pendidikan ialah asas pembangunan insan dan sebuah negara manakala kejayaan anak-anak adalah kejayaan seluruh komuniti.

“Kita akan terus menjadi jambatan antara agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat demi melahirkan generasi muda Sabah yang berilmu, yakin diri dan berdaya saing.
“Walaupun program seperti ini mungkin kelihatan sederhana terutamanya hanya beg sekolah, alat tulis dan kelengkapan asas, namun maknanya amat besar untuk penerima hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bantuan Peralatan Pendidikan Bagi Pelajar-Pelajar B40, Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru II, di sini, pada Khamis.

Dennison berkata, beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan KOSMA serta semua rakan pelaksana atas kepercayaan dan sokongan yang memungkinkan program tersebut direalisasikan dengan jayanya.
“Saya turut menyampaikan penghargaan khas kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, atas kepimpinan dan komitmennya dalam mendukung usaha memperkasakan pendidikan dan kebajikan komuniti bandar.
“Cabaran hidup di kawasan bandar seperti Tanjung Aru semakin meningkat daripada kos sara hidup yang tinggi, sewa rumah yang meningkat, hingga kepada tekanan pendidikan.

“Namun semangat masyarakat setempat tetap luar biasa kerana saling membantu dan menyokong demi masa depan anak-anak,”’katanya.
Menurutnya, pihaknya akan terus menjadi jambatan antara agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat demi melahirkan generasi muda Sabah yang berilmu, yakin diri dan berdaya saing.














