Bantuan RM1,000 kepada keluarga mangsa banjir mula diagih semalam
30 November 2024
KUALA BERANG : Kerajaan sudah mengagihkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di seluruh negara bermula semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bayaran itu akan disalurkan kepada setiap KIR yang memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat juga berharap pengagihan bantuan itu terutama bantuan tunai akan dapat diatur gerak dengan sepenuhnya.
"Untuk bantuan daripada kerajaan Persekutuan selain daripada bantuan bagi penyelamatan, kita mempunyai senarai mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Bermula dari semalam kita mengagihkan bantuan RM1,000 untuk setiap KIR dan ini kita akan lakukan secara berfasa.
"Kita tidak mahu ada dalam kalangan KIR yang berpindah ke PPS dan mengikut syarat yang ditentukan oleh Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) yang tidak mendapat bantuan.
"Bagi seluruh negara, kita peruntukan jumlah yang secukupnya. Kalau sekiranya jumlah keluarga melebihi, maka Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku Menteri kewangan akan tambah peruntukan berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat dan menyantuni mangsa banjir PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nibong di sini, hari ini.
Comments