top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bantuan SARa RM600 akan disalurkan kepada 200,000 rakyat miskin tegar mulai Isnin


15 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seramai 200,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah yang dikategorikan sebagai miskin tegar bakal menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) berjumlah RM600 mulai Isnin ini.


Beliau berkata, bantuan itu diberikan merupakan sebahagian daripada aspek Perlindungan Sosial Untuk Rakyat Memerlukan dalam Naratif Ekonomi Madani.


"Sebagai tambahan, lebih 200,000 penerima STR yang dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan data e-kasih akan turut menerima SARa bagi mendapatkan keperluan barangan makanan asas," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Putrajaya, hari ini.


Tambha beliau, kerajaan akan mengumumkan perincian berhubung Program SARa dalam masa terdekat.


Dalam ucaptamanya, Anwar juga menyentuh mengenai beberapa inisiatif lain yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan kebajikan rakyat.


“Kerajaan menanggung 80 peratus daripada nilai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menggalakkan pekerja gig membuat caruman dengan peruntukan RM100 juta.


“Kerajaan turut memperkenalkan Skim Perubatan Madani khusus untuk golongan B40 mendapat rawatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta (GP) dengan peruntukan RM100 juta. Dalam pada itu, kerajaan juga memperluas pelaksanaan Skim Perubatan Madani ke tujuh negeri lagi di bandar kependudukan tinggi seperti Klang, Johor Bahru dan Kuching.


"Melihatkan kepada sambutan menggalakkan dan keberkesanan skim ini, kerajaan juga bersetuju untuk memperluas pelaksanaan ke tujuh negeri lagi," katanya.



Comments


bottom of page