Barisan kepimpinan baharu Pemuda, Wanita UPKO Libaran lebih menyeluruh
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Barisan kepimpinan baharu Pemuda, Wanita UPKO Libaran lebih menyeluruh



8 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Libaran Dr.Peter Jr.Naintin berkata, barisan kepimpinan baharu Pergerakan Pemuda dan Wanita parti itu di bahagian Libaran lebih inklusif dan menyeluruh.


Beliau berkata, pembentukan kepimpinan UPKO Libaran adalah hasil penjenamaan parti yang inklusif dan progresif.


“Bahagian UPKO Libaran sentiasa berusaha untuk mengangkat suara rakyat melalui kepimpinan berteraskan pelayanan ‘Fokus, Berani dan Ikhlas’.



“Pada kali ini, Pergerakan Pemuda dan Wanita berjaya menyenaraikan gandingan pemimpin veteran dan muda daripada pelbagai kaum dan etnik.


“Ini menunjukkan bahawa perjuangan UPKO masih diterima oleh rakyat kawasan ini berdasarkan kerja dan kepimpinan di peringkat akar umbi,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Mesyuarat Agung Tritahunan Pergerakan Wanita dan Pemuda UPKO Libaran.



Peter turut mengingatkan semua ahli jawatankuasa baharu yang telah dilantik supaya menjadi pemimpin bertanggungjawab, amanah dan ikhlas dalam menjalankan tugas di setiap kawasan masing-masing.


“Kita harus sedar bahawa banyak lagi kerja yang perlu kita lakukan bagi membantu dan membawa suara rakyat Libaran ke Parlimen.


“Kita perlu bersama-sama memperjuangkan kepentingan warga Libaran terutamanya peluang untuk golongan muda dalam pendidikan, kemahiran dan pekerjaan,” katanya.


Beliau merakamkan tahniah kepada Ketua Wanita Rusinah Lampog yang menang tanpa bertanding dan Ketua Pemuda, Suherdy Roslan yang akan membawa kepimpinan baharu bagi meneruskan perjuangan untuk rakyat.

bottom of page