top of page

Basmi Penyalahgunaan Akaun Keldai: Masyarakat Perlu Lebih Peka Dan Berhati-hati

  • nabalunews
  • Jun 5
  • 2 min read

5 Jun 2025


KOTA MARUDU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes penipuan dalam talian yang melibatkan penggunaan akaun pihak ketiga atau akaun keldai (mule account) di seluruh negara, termasuk di daerah Kota Marudu.


Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, setakat Januari hingga Mei tahun ini, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu sudah membuka 24 kertas siasatan.


Katanya, siasatan membabitkan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM609,980 dan semua kes berkenaan melibatkan penggunaan akaun keldai sebagai medium transaksi penipuan.


“Akaun keldai merujuk kepada akaun bank milik individu yang disalahgunakan atau dengan sengaja digunakan untuk menerima wang hasil kegiatan penipuan seperti scam pelaburan tidak wujud, sindiket penyamaran pegawai bank/agensi, dan penipuan atas talian e-dagang.


“Individu yang membenarkan akaun mereka digunakan untuk tujuan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang walaupun mendakwa tidak mengetahui aktiviti jenayah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Simiun berkata, antara modus operandi yang dikesan termasuk peminjaman wang secara atas talian suspek menyerahkan akaun bank kepada 'agen' kononnya sebagai cagaran pinjaman, namun digunakan untuk aktiviti jenayah.


Selain itu katanya, terdapat juga penipuan penyamaran pegawai Shopee, LHDN dan bank mangsa diarahkan memindahkan wang ke akaun tertentu yang dimiliki 'pihak ketiga'.


“Tedapat juga tawaran pekerjaan sambilan individu diminta membuka akaun bank baru dan menyerahkan butiran login untuk 'urusan pembayaran gaji',” katanya.


Sehubungan itu, Simiun menasihati orang ramai supaya jangan sesekali menyerahkan kad ATM, nombor PIN atau akses akaun bank anda kepada pihak lain.


“Jangan benarkan akaun anda digunakan walau atas alasan pinjaman, pelaburan atau upah.


“Jika diminta membuat pemindahan wang oleh pihak tidak dikenali, segera hubungi balai polis terdekat atau semak nombor akaun melalui CCID Scam Response Center: 03-2610 1559 / 1599,” katanya.


Simiun berkata, pemilik akaun bank yang terbukti bersubahat atau cuai boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 420 atau Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan.


“PDRM menyeru kerjasama orang awam dalam melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan dan tidak menjadi keldai kepada sindiket penipuan.


“Keselamatan kewangan bermula dengan tanggungjawab individu sendiri,” katanya.

Kommentare


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page