Kaamatan, Karnival BKD SK Nahaba Semarakkan Budaya, Perkukuh Perpaduan - Carlye
- nabalunews
- 10 hours ago
- 1 min read

Oleh Kidd
KOTA BELUD, 16 Julai – Sambutan Kaamatan dan Karnival BKD Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Nahaba berlangsung meriah di Dewan Pride, SK Nahaba, dengan pelbagai pengisian yang menonjolkan keunikan budaya serta mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan warga sekolah dan komuniti setempat.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Politik (SUPOL) Caryle Lajimin mewakili Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Dalam ucapan, beliau mengingatkan bahawa perpaduan dan semangat kebersamaan adalah kekuatan utama dalam membina masyarakat yang harmoni.
“Warisan budaya yang kita raikan hari ini bukan sekadar tradisi, malah menjadi jambatan yang menghubungkan generasi muda dengan identiti serta nilai-nilai murni masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata penganjuran program seumpama itu wajar diteruskan kerana bukan sahaja memartabatkan budaya dan adat resam masyarakat Kadazandusun, malah mengeratkan hubungan antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat.
Katanya, usaha memupuk kecintaan terhadap budaya dalam kalangan murid perlu bermula di sekolah agar warisan nenek moyang terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Sementara itu, Guru Besar SK Nahaba, Dosili Sumbing, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang berganding bahu menjayakan sambutan berkenaan.
Beliau berharap program tahunan itu akan terus menjadi platform memperkukuh hubungan antara sekolah dan komuniti di samping memelihara keunikan budaya tempatan.
Pelbagai acara menarik diadakan sepanjang sambutan termasuk persembahan kebudayaan, penglibatan aktif PIBG, cabutan bertuah serta pertandingan Pialaan Kolumison Basaan, Pialaan Sisindiron, Pialaan Managgon dan Pialaan Monsinding.















Comments