• nabalunews

BATAL, TANGGUH PRK BUGAYA LANGKAH PRIHATIN LINDUNGI RAKYAT


17 DIS 2020


SEMPORNA: Pembatalan dan penangguhan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya susulan Proklamasi Darurat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan langkah prihatin kerajaan dalam melindungi kesihatan rakyat.

Bekas pemimpin akar umbi Amir Baha Pagagah, 58, berkata titah Seri Paduka itu adalah untuk kebaikan penduduk di Semporna meskipun kes COVID-19 di daerah ini kian berkurangan.

"Saya yakin titah Yang di-Pertuan Agong itu sangat bermanfaat dan prihatin terhadap rakyatnya supaya tidak berlaku lagi penularan sehingga kes COVID-19 meningkat," katanya ketika dihubungi.

Amir Baha dalam pada itu mencadangkan agar kempen PRK apabila diadakan kelak hanya melibatkan penyokong parti dan pemimpin dalam kalangan penduduk Semporna sahaja.

"Sebaiknya, jangan ada pemimpin dan penyokong dari Semenanjung dan Kota Kinabalu seperti sebelum ini bagi mengelak daripada bawaan wabak dari luar Semporna," katanya.

Bagi penduduk Kampung Sungai Gajah Mad Nain Nasehi, 57, berkata darurat merupakan langkah terbaik mengekang penularan COVID-19 dalam komuniti di Semporna dan tidak mahu kes tinggi yang direkodkan di daerah ini sebelum ini, berulang kembali.

Katanya, semua pihak perlu beringat bahawa sekarang adalah masa untuk melawan pandemik COVID-19 dan PRK DUN itu boleh difikirkan selepas COVID-19 tidak lagi menjadi ancaman.

Akur dengan keputusan Proklamasi Darurat dan tanggungjawab sebagai pengundi di DUN Bugaya, seorang peniaga Noorudin Abdul Hussin mengakui rakyat di kawasan itu sangat berwaspada dengan potensi jangkitan COVID-19 dan berharap PRK itu dapat diadakan setelah seluruh Semporna menjadi zon hijau kembali.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Jaujan Sambakong percaya tindakan kerajaan itu diambil bagi mengelak ancaman kesihatan dan nyawa rakyat akibat pandemik COVID-19 yang masih belum reda.


Jaujan yang juga ADUN Sulabayan berkata jentera gerakan parti itu sentiasa bersedia untuk mempertahankan kerusi DUN Bugaya apabila keadaan pandemik ini reda.

SPR sebelum ini menetapkan tarikh mengundi PRK serentak bagi DUN Bugaya, Sabah serta Parlimen Gerik, Perak pada 16 Jan.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya berkata Seri Paduka berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua PRK tersebut setelah berpuas hati dengan penjelasan beliau yang menyembah maklum nasihat jemaah menteri bahawa adanya keperluan pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan itu membolehkan suatu ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan PRK untuk Parlimen Gerik dan DUN Bugaya.

PRK DUN Bugaya diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN itu, Datin Manis Muka Mohd Darah daripada Warisan pada 17 Nov lepas, akibat masalah buah pinggang. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com