Bazaar Ramadan di Sabah Trade Centre bermula esok
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

18 Februari 2026
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan kanopi kepada 30 penjaja dan peniaga kecil di Bazaar Ramadan Sabah Trade Centre (STC), Likas.
Beliau berkata, sumbangan itu merupakan sokongan berterusan kementeriannya kepada para peniaga kecil di negeri ini.
“Saya berharap Bazaar Ramadan STC ini memberi berkat rezeki kepada semua usahawan dan menjadi peluang kepada peniaga kecil untuk menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan.
“Kementerian sentiasa komited bukan sahaja dalam mengurus pelaburan industri berskala besar, malah turut memberi perhatian kepada pembangunan usahawan kecil dan mikro di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara ringkas perasmian tapak Bazaar Ramadan STC serta penyampaian kanopi kepada 30 usahawan kecil yang juga ahli Persatuan Usahawan Penjaja dan Peniaga Kecil Kota Kinabalu (PUPPKKK) di sini, hari ini.

Mengenai pembangunan di kawasan itu, Ewon berkata kementeriannya telah menerima beberapa cadangan pembangunan semula STC.
“Namun, kita akan meneliti dan menetapkan cadangan terbaik untuk diangkat ke perbincangan Kabinet sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” katanya.
Sebagai langkah interim katanya, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) selaku pemilik tanah telah menandatangani perjanjian dengan POIC Sabah, sebuah agensi di bawah MINDET, untuk menyelenggara dan mengurus Sabah Trade Centre serta kawasan sekitarnya sehingga diputuskan sebaliknya oleh Kabinet Negeri Sabah.
Dalam pada itu, PUPPKKK diberi kebenaran untuk menjalankan Bazaar Ramadan serta aktiviti perniagaan pada waktu malam di kawasan parkir yang ditetapkan.
“Tidak semua kawasan tempat letak kereta akan digunakan memandangkan ia turut menjadi kemudahan kepada penjawat awam pada waktu bekerja serta penghuni dan pengunjung premis berhampiran,” kata Ewon

Katanya lagi, terdapat keperluan untuk menaik taraf kemudahan sedia ada termasuk membaiki jalan dan laluan, selain penyelenggaraan kawasan dan parkir demi keselesaan peniaga serta pengunjung.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Thomas Logijjin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan POIC Datuk Fredian Gan, Pengarah DIDR Siti Nur'ain Abdullah dan Pengerusi Persatuan Usahawan Penjaja Peniaga Kecil Daerah Kota Kinabalu Ramzih Ruzin.















