top of page

Bazar Ramadan Kudat: KKM Keluar 4 Kompaun, Sita Makanan Tidak Selamat

  • nabalunews
  • Feb 25
  • 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


25 Februari 2026


KUDAT: Pejabat Kesihatan Kudat mengeluarkan empat kompaun kepada pengendali makanan di Bazar Ramadan sejak beberapa hari lalu atas kesalahan pemakaian tidak sempurna dan gagal mendapatkan suntikan typhoid. Tindakan tegas diambil bagi memastikan 1,500 pengunjung yang dianggarkan hadir setiap petang terlindung daripada risiko keracunan makanan.


Pemeriksaan yang dijalankan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan itu mendapati masih terdapat penjaja yang ingkar terhadap Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Selain kompaun, pihak berkuasa turut memberi amaran keras serta melakukan rampasan terhadap makanan yang disyaki tercemar dan dijual melebihi tempoh yang dibenarkan.


Pengarah Kesihatan Kudat menegaskan bahawa makanan yang telah disediakan tidak boleh dijual melebihi tempoh empat jam selepas penyediaan bagi mengelakkan pertumbuhan bakteria. Pemeriksaan turut menekankan aspek kebersihan diri seperti pemakaian apron penuh, penutup kepala, berkasut, dan larangan memakai aksesori.

Sejajar dengan kempen keselamatan makanan, semua penjaja diwajibkan memiliki Sijil Suntikan Typhoid yang sah serta menghadiri Kursus Pengendali Makanan. Pendaftaran premis melalui sistem FoSIM di laman web FoSIM.moh.gov.my juga diwajibkan bagi memudahkan pemantauan berterusan.


Pihak Kesihatan menasihatkan peniaga yang tidak memahami cara pendaftaran untuk hadir ke Pejabat Kesihatan bagi mendapatkan bimbingan. Kegagalan mematuhi mana-mana peraturan yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan kompaun serta-merta.


Operasi pemantauan di Bazar Ramadan akan diteruskan sepanjang bulan puasa bagi menjamin keselamatan dan kesihatan komuniti setempat. Kerjasama semua pihak amat dihargai dalam memastikan makanan yang dinikmati rakyat adalah bersih, selamat dan berkualiti.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page