Belanjawan 2026: PMKS dan koperasi terus diperkasa, RM1.015 billion untuk KUSKOP
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

11 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Belanjawan 2026 mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk terus memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta gerakan koperasi di negara ini, sebagai tunjang utama pembangunan ekonomi rakyat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, ini dapat dilihat menerusi peruntukan sebanyak RM1.015 bilion.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) diperuntukkan sebanyak RM1.015 bilion melibatkan pertambahan peruntukan sebanyak RM200.3 juta, belum termasuk pelbagai inisiatif Belanjawan 2026 lain yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
“Dalam Belanjawan Rakyat ini, sebanyak RM50 bilion diperuntukkan untuk kemudahan pinjaman dan jaminan Kerajaan kepada PMKS termasuk RM10 bilion dikhususkan untuk jaminan pinjaman kepada usahawan Bumiputera,” katanya.
Belanjawan MADANI 2026: Belanjawan Rakyat dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.
Ewon berkata, antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan menerusi KUSKOP dan agensi-agensinya ialah, RM20 juta bagi projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak untuk menambah tapak dan ruang niaga dilengkapi kemudahan asas.
“Pembangunan tanah wakaf melalui UDA Holdings Berhad dengan nilai pelaburan hampir RM250 juta di Pulau Pinang dan Kedah, RM100 juta dana pembiayaan khusus untuk PMKS halal melalui SME Bank.
“Sebanyak RM2.5 bilion pinjaman kepada usahawan mikro melalui TEKUN Nasional dan BSN, RM50 juta dana pembiayaan perusahaan koperasi melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), RM200 juta pinjaman di bawah Program Jaguh Serantau SME Bank bagi membantu PKS Bumiputera menembusi pasaran eksport.
“Sebanyak RM230 juta tambahan dana kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk usahawan mikro wanita, menjadikan jumlah keseluruhan dana AIM kini RM2.9 bilion.
“Bagi pembiayaan usahawan wanita, sebanyak RM270 juta diperuntukkan melalui Bank Rakyat, SME Bank, BSN dan MARA, sebanyak RM12 juta untuk Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) oleh SME Corp dan RM9 juta bagi pembangunan industri francais melalui PERNAS,” katanya.
Selain itu, katanya kerajaan turut memperuntukkan RM220 juta bagi. pelaksanaan pelbagai program sosioekonomi masyarakat India melalui MITRA, TEKUN dan AIM.
“KUSKOP dan agensi-agensi KUSKOP akan memberikan khidmat terbaik bagi menjayakan Belanjawan Rakyat 2026 ini berdasarkan kepada iltizam “we facilitate, not frustrate” dan mengambil pendekatan “whole of government”.
“Saya yakin Belanjawan Rakyat ini akan dapat meningkatkan mutu kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan negara sesuai dengan aspirasi MADANI,” katanya.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, atas pembentangan Belanjawan MADANI 2026: Belanjawan Rakyat berjumlah RM470 bilion, yang menekankan disiplin fiskal, reformasi subsidi dan kesejahteraan rakyat.
“Belanjawan ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat, tetapi juga memperkukuh keupayaan PMKS dan koperasi untuk terus menjadi peneraju ekonomi serantau,” katanya.