Belia Sabah Teras Perubahan - Jolyhame
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 5 Ogos – Ketua Pemuda UPKO Bahagian Kota Belud, Jolyhame Saran, secara rasmi mengumumkan pencalonan dirinya bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda UPKO Malaysia pada Mesyuarat Agung Tri-Tahunan UPKO 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 9 dan 10 Ogos ini.
Keputusan mengumumkan hasrat itu dibuat berikutan sokongan padu daripada ketua-ketua Pemuda bahagian yang inginkan kepimpinan progresif dan berwawasan bagi menggerakkan agenda baharu gerakan pemuda parti.
Jolyhame menegaskan bahawa generasi belia Sabah kini bukan lagi sekadar pelengkap, sebaliknya teras utama perubahan. Selaras dengan slogan 'Sabah First', beliau berpandangan bahawa sudah tiba masanya belia menjadi penggerak utama dalam pembuatan keputusan dan peneraju masa depan wilayah, bukannya sekadar menjadi pemerhati di tanah sendiri.
Dalam pelan dan manifesto yang dikemukakan, Jolyhame menggariskan beberapa teras utama perjuangan merangkumi pemerkasaan latihan kemahiran TVET dan ekonomi digital, khususnya dalam sektor teknologi hijau serta bidang bernilai tambah tinggi.
Sejajar dengan itu, beliau turut mengangkat perjuangan hak wilayah Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dilihatnya bukan sekadar isu sejarah, tetapi kunci kepada masa depan negeri.
Beliau komited untuk memperjuangkan pelaksanaan penuh hak Sabah termasuk tuntutan 40 peratus hasil wilayah dan pengembalian kuasa autonomi dalam pentadbiran serta pengurusan sumber asli.
Jolyhame menegaskan bahawa perjuangan hak Sabah bukanlah ancaman kepada perpaduan nasional, sebaliknya usaha mengukuhkan Malaysia dalam semangat keadilan dan kesaksamaan menerusi pendekatan harmoni serta dialog.
Dari sudut pembangunan sosial dan politik, beliau menekankan kepentingan pendidikan literasi demokrasi dan kepimpinan untuk belia, serta menolak amalan budaya politik yang tidak matang.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk memperjuangkan penglibatan belia secara eksklusif dan bermakna dalam penggubalan dasar ekonomi, sosial, dan pendidikan, bukannya sekadar dijadikan kumpulan sasaran semata-mata.
Mengulas mengenai pendekatan kepimpinan, Jolyhame berkata tumpuan akan diberikan kepada pembentukan jambatan antara pengalaman kepimpinan sedia ada dengan tenaga segar idea baharu bagi melahirkan pemimpin muda yang berwibawa, berintegriti, dan berjiwa rakyat. Gabungan ini penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti dengan pendekatan yang dinamik dan relevan.
Beliau turut berkata bahawa belia Sabah perlu memahami MA63 sebagai asas perjuangan menuntut hak demi pembangunan negeri. Dengan Sabah berkuasa ke atas sumber serta hasilnya, lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta untuk anak muda tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan pusat.
Berkenaan dengan proses pemilihan melalui undian, Jolyhame menegaskan bahawa perkara tersebut merupakan suatu aspek penting yang bersifat demokrasi.
Beliau menyeru semua pemuda daripada setiap bahagian agar mengetepikan perbezaan demi memastikan proses pemilihan berlangsung secara matang, telus, dan harmoni, tanpa menjejaskan semangat kesaudaraan dalam parti.
Tegasnya, pemilihan kali ini bukan sekadar memilih individu tertentu, malah merupakan satu mekanisme penting bagi menentukan hala tuju pergerakan Pemuda UPKO untuk tempoh tiga tahun akan datang.
"Saya pohon kepercayaan anda. Masa depan Sabah bermula dengan kita hari ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.











