top of page

Bengkel kesedaran penyalahgunaan dadah di Piasau

  • nabalunews
  • Oct 20, 2024
  • 2 min read

19 Oktober 2024


KOTA BELUD: Penyalahgunaan dadah membawa pelbagai keburukan kepada individu dan masyarakat. Antara kesan negatifnya adalah kerosakan kesihatan fizikal, kesan psikologi serta pelbagai masalah lain.


Menyedari bahaya penyalah gunaan dadah, bengkel Training of Trainers (TOT) Community Empowerment diadakan hari ini di Dewan Terbuka Sosondoton View, Kampung Piasau, Kota Belud yang menerima sokongan penuh daripada kepimpinan komuniti setempat.


Program ini adalah inisiatif penting dalam memperkasakan komuniti untuk mencegah penyalahgunaan dadah.dan memahami langkah-langkah yang boleh diambil bagi menangani isu penagihan.


Usaha ini diharapkan dapat membantu komuniti dalam menangani masalah dadah dengan lebih berkesan.


Bengkel selama sehari ini dianjurkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Tuaran, dengan kerjasama Jawatan Kuasa Pencegahan Dadah (JKPD) Daerah Kota Belud dan Persatuan Penduduk Kampung Piasau.


Program ini menyasarkan pemimpin komuniti, ketua adat, serta pemimpin rumah ibadat seperti gereja, masjid, NGO Islam, Rukun Tetangga, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan orang awam yang berminat untuk turut serta.


Antara aktiviti utama dalam bengkel ini termasuk ceramah mengenai kesan buruk penyalahgunaan dadah, pengenalan kepada pelbagai jenis dadah, serta cara mengenal pasti individu yang mungkin terlibat dalam penyalahgunaan dadah.


Selain itu, terdapat pameran contoh dadah dan peralatan yang digunakan dalam penyalahgunaan dadah, tayangan video yang berkaitan, dan kaji selidik untuk mengukur tahap pemahaman peserta mengenai isu tersebut.


Program ini turut menampilkan dua penceramah utama, iaitu Mohamad Farid Mohd Noor, Ketua Unit Pencegahan AADK Negeri, dan Helmy Clare Freddy, Ketua AADK Daerah Tuaran, yang berkongsi pandangan dan pengalaman mereka dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah di peringkat komuniti.


Menerusi penganjuran program ini, komuniti di Kampung Piasau diharapkan dapat menjadi lebih berdaya tahan dalam menangani ancaman penyalahgunaan dadah, serta lebih peka terhadap tanda-tanda awal penagihan, sekali gus mencegah penyebarannya dalam kalangan masyarakat setempat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page