- Wartawan Nabalu News
Bentang RUU Antilompat Parti di DUN Sabah Mac ini - Ewon
14 Januari 2023
PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mencadangkan supaya Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dibentang segera pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, dijadual Mac ini.
Naib Presidennya dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata beliau telah mengemukakan cadangan itu kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta kerajaan negeri dan menurutnya cadangan itu penting bagi mewujudkan kestabilan politik di negeri ini.
Beliau berkata, ia juga penting dalam memastikan Kerajaan Sabah yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri mampu berfungsi untuk penggal penuh bagi melaksana dengan berkesan pelan untuk membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat negeri ini.
"Ia (Rang Undang-Undang Antilompat Parti) perlu dibentang dengan segera pada persidangan DUN akan datang Mac ini, dan sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan diadakan sekitar dua tahun akan datang.
"Kita di Sabah ini memerlukan kestabilan, jika tidak habis-habis tukar Ketua Menteri dan kerajaan negeri melalui SD (Akuan Bersumpah) sampai bila kita mahu dapat kestabilan untuk majukan Sabah dan rakyat," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Parlimen Penampang berkata demikian ketika ditemui selepas Malam Perpaduan UPKO yang turut dihadiri Presidennya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Ewon bakal mengambil alih jawatan Presiden UPKO secara rasmi daripada Madius pada Persidangan Tritahunan UPKO Ke-16 di sini pada Ahad (15 Jan) selepas muncul sebagai calon tunggal jawatan itu, manakala Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran, akan dilantik sebagai Presiden Kehormat UPKO.
Comments