• nabalunews

BERSATU SABAH HARAP KERAJAAN PERSEKUTUAN BANTU TUNAI AKU JANJI PRN LEPAS


28 NOV 2020


KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berharap kerajaan persekutuan akan membantu kerajaan negeri menunaikan aku janji pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung pada September lalu.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor berkata ini sekali gus menggerakkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang akan dibentangkan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam tempoh terdekat.

"Sabah memerlukan bantuan yang lebih banyak daripada kerajaan persekutuan. Kami perlu menambah dan mencipta hasil baharu untuk negeri yang memerlukan kerjasama pusat bagi menyempurnakan hak dan kepentingan negeri yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencadangkan usul menyokong ucapan dasar presiden bersempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Perhimpunan itu berlangsung secara maya dari beberapa lokasi yang ditetapkan mengikut negeri dan dijalankan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard yang ketat berikutan penularan pandemik COVID-19 di negara ini sekarang.

Ketua Menteri Sabah itu yakin rakyat negerinya akan sentiasa menghargai jasa dan budi kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Hajiji turut mengusulkan beberapa agenda teras yang perlu dilaksanakan termasuk menggerakkan parti secara berhikmah dan bijaksana berteraskan agenda perjuangan golongan pribumi tanpa menafikan hak dan kepentingan kaum-kaum lain.

Katanya PRN lepas mengajar betapa pentingnya kerjasama dan permuafakatan pribumi serta rakyat berbilang kaum, jauh lebih penting berbanding retorik politik perkauman.

"Biar perlembagaan kita, gerakan kita, bicara kita dan tindakan kita setiap masa menggambarkan keterbukaan dan keterangkuman untuk membawa golongan pribumi bersama dalam Bersatu," katanya.


Selain itu, gerakan penambahan ahli, pendaftaran pemilih dan penubuhan cawangan perlu dilaksanakan secara agresif yang membolehkan parti berfungsi dengan lebih berkesan dalam memberi khidmat kepada rakyat.

Hajiji berkata Sabah juga mengusulkan agar parti menimbang pembentukan sayap ketiga sebagai platform khas yang digerakkan sendiri wanita muda.

"Berdasarkan data terkini, jumlah keahlian wanita muda bawah umur 30 tahun di seluruh negara hanyalah pada kadar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli Srikandi Bersatu," katanya. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com