BESS Lahad Datu kurangkan risiko gangguan bekalan elektrik
- nabalunews
- 18 minutes ago
- 2 min read

13 Disember 2025
KOTA KINABALU: Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Lahad Datu (BESS Lahad Datu) dilancarkan sebagai langkah mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik di Pantai Timur dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri ini.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata pelancaran BESS Lahad Datu di bawah seliaan Sabah Electricity itu sebagai pencapaian penting bagi Sabah kerana ia merupakan fasiliti penyimpanan tenaga terbesar bukan sahaja di negara ini tetapi juga di Asia Tenggara.
Beliau yang juga bekas pengerusi Sabah Electricity merakamkan tahniah kepada syarikat utiliti itu atas kejayaan melaksanakan BESS berkapasiti 100 megawatt (MW) dengan simpanan tenaga 400 megawatt-jam (MWh), yang disifatkannya sebagai pemacu transformasi tenaga negeri.
“Saya juga bersyukur kerana berkesempatan memimpin satu perjuangan melaksanakan BESS ini di Sabah.
“Pasukan Sabah Electricity yang saya pimpin telah berhadapan dengan pelbagai rintangan dan cabaran sehinggalah BESS ini akhirnya berjaya dilaksanakan,” katanya selepas majlis pelancaran tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Beliau berkata, cadangan pelaksanaan BESS tercetus ketika kapasiti penjanaan elektrik negeri berada pada tahap kritikal, dengan margin rizab di bawah 10 peratus yang memaksa langkah catuan bekalan (load shedding) dilaksanakan khususnya semasa musim kemarau.
Keadaan itu, katanya, menuntut satu bentuk tindakan penyelesaian yang bukan sahaja pantas dilaksanakan, malah mampu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa isu kestabilan bekalan elektrik mampu ditangani secara berkesan.
“Pada ketika itu, kita mempunyai dua pilihan iaitu melaksanakan BESS atau mengambil penyelesaian sementara melalui sistem kapal jana kuasa (barge) menggunakan diesel yang dicadangkan oleh syarikat dari Turkiye, CARPOWERSHIP,” katanya.
Madius menegaskan kejayaan projek BESS itu membuktikan keupayaan Sabah Electricity merancang dan melaksanakan penyelesaian tenaga berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh sistem bekalan elektrik negeri serta menyokong agenda peralihan tenaga yang lebih lestari.














