top of page
  • Farah Salim

Blok Borneo hanya ilusi Warisan, GPS zahirkan sokongan kepada BN-Umno: Pemuda UPKO KB



Jolyhame Saran

15 November 2022

Oleh Farah Salim


KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud Jolyhame Saran berkata, agenda Borneo melalui Blok Borneo yang dilaung-laungkan Parti Warisan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya sebuah ilusi.


Beliau berkata, ini kerana kerjasama antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Barisan Nasional (BN-Umno) dapat dilihat melalui kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu program kempen di Sarawak.


Katanya, sebelum ini Presiden Warisan Datuk Shafie Apdal dan Warisan menyatakan kerjasama dengan GPS sebagai Blok Borneo.


“Kini beliau (Shafie) menafikan kenyataan itu kerana kedua-dua pemimpin berkenaan belum menyatakan kerjasama rasmi dan hanya mempertimbangkan kemungkinan selepas PRU15 nanti.


“Umum sedia maklum bahawa parti-parti dalam GPS merupakan parti-parti Pro BN-Umno sejak era Tun Mahathir. Ketika GPS memberikan gambaran sokongan dan kerjasama dengan BN-Umno pada PRU15 ini, Warisan masih belum memberikan pendirian mengenai siapa calon Perdana Menteri yang diketengahkan atau disokong oleh Warisan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Semalam, Ismail Sabri dipetik sebagai berkata, BN yakin dapat membentuk kerajaan yang stabil selepas PRU15 dengan mendapat kerjasama GPS.


Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada majlis itu turut menyuarakan sokongan gabungan itu kepada Ismail Sabri untuk terus menerajui kerajaan selepas pilihan raya umum ini.


Jolyhame berkata, tanpa pendirian yang jelas, Blok Borneo yang dilaung-laungkan oleh Shafie dan calon-calon Warisan dalam kempen mereka mungkin boleh menjadi malapetaka kepada Sabah, sekiranya Warisan mengikuti rentak GPS untuk menyokong BN-Umno.


Sebab itu katanya, pengundi yang mengundi Warisan boleh berisiko mengangkat kembali BN-Umno, yang dikaitkan dengan pemimpin rasuah, kembali mentadbir Kerajaan Persekutuan,” katanya.


Sehubungan itu beliau menyeru pengundi di negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan propaganda yang dimainkan pelbagai pihak sebaliknya memberi sokongan padu kepada Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai halatuju yang jelas untuk membentuk kerajaan yang stabil dan bertanggungjawab.


Dalam laporan Utusan Malaysia pada Jumaat lalu, Shafie dilaporkan berkata, parti itu sudah mencapai persefahaman dengan GPS bagi membentuk kerjasama Blok Borneo.


Bagaimanapun katanya, keputusan rasmi mengenai kerjasama itu akan diumumkan tidak lama lagi.


“Sebenarnya, kita memang sudah ada persefahaman, tetapi saya belum mahu mendedahkannya, kita tunggu masa yang sesuai,” katanya dalam laporan Utusan Malaysia selepas menghadiri ceramah Warisan di Pandan, baru-baru ini.




Comments


bottom of page