top of page

Blok Borneo perjuang pembangunan adil Sabah dan Sarawak, bukan ‘kawal’ sesiapa

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 1 min read

3 Mac 2026


KOTA KINABALU: Blok Borneo bukan bertujuan untuk “mengawal” mana-mana pihak, sebaliknya merupakan kesatuan suara rakyat Sabah dan Sarawak yang mahukan pembangunan lebih adil serta seimbang dalam kerangka Persekutuan Malaysia.


Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Azrul Ibrahim berkata sentimen memperkukuh kerjasama politik antara negeri di Borneo wujud bukan atas dasar emosi atau ekstremisme, tetapi berasaskan realiti jurang pembangunan yang masih ketara antara Malaysia Timur dan Barat.


“Di banyak kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak, isu asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan peluang ekonomi masih menjadi keutamaan rakyat.


“Justeru Blok Borneo adalah kesatuan suara rakyat Sabah dan Sarawak yang menuntut pembangunan lebih saksama dalam Persekutuan.


“Blok Borneo adalah usaha menyatukan suara kedua-dua wilayah supaya agenda pembangunan dapat diperjuangkan secara lebih tersusun dan signifikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang mendakwa Sabah dan Sarawak berada dalam kedudukan strategik untuk ‘mengawal’ Malaya melalui perancangan politik dikenali sebagai Blok Borneo.


Azrul yang Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata semangat yang digariskan menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menekankan soal hak dan tanggungjawab dalam Persekutuan.


“Ia bukannya kecenderungan ekstrem atau usaha memecah-belahkan semangat kebersamaan nasional, sebaliknya kebersamaan untuk memperkukuh kedudukan negeri-negeri Borneo dalam memperjuangan agenda pembangunan yang adil dan seimbang,” ujarnya.


Justeru katanya, Kerajaan Persekutuan wajar melihat keperluan mendesak untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak secara tuntas dan berani.


Beliau menegaskan apabila hak Sabah dan Sarawak dipenuhi secara adil, Persekutuan Malaysia diyakini akan menjadi lebih kukuh.


“Blok Borneo adalah tentang keseimbangan, keadilan pembangunan dan memperkukuh semangat Persekutuan, demi Malaysia yang lebih makmur dan inklusif untuk semua,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page