top of page

Bom Ikan, Dua Nelayan Ditahan

  • nabalunews
  • 2h
  • 2 min read

8 Mac 2026


LAHAD DATU: Dua nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Kunak, semalam.


Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, kedua-dua lelaki berusia 18 dan 23 tahun terbabit ditahan kira-kira 1 batu nautika timur laut Kunak.


Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, kedua-dua suspek ditahan anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Pluto Timur 2/2023, Op Tiris 3.0 dan Op Khas Pagar Laut 1/2026.

Katanya, sebaik ditahan, pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan dikendalikan dua suspek yang berketurunan suku Palauh turut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.


“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, vesel yang digunakan suspek tidak mempunyai nombor pendaftaran yang sah.


“Malah kedua-dua suspek turut disyaki sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, pasukan operasi turut menemui kira-kira 15 kilogram ikan serta beberapa peralatan menyelam termasuk hos udara di dalam vesel berkenaan.


Katanya, kedua-dua suspek bersama vesel dan hasil tangkapan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.


Dzulfikhar berkata, aktiviti penangkapan ikan menggunakan bahan letupan atau bom ikan merupakan kesalahan serius kerana bukan sahaja menyalahi undang-undang.


Malah katanya, ia boleh memusnahkan habitat marin termasuk terumbu karang serta menjejaskan sumber perikanan negara.


Sehubungan itu, Dzulfikhar berkata, pihak Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana- mana pihak yang terlibat dalam aktiviti bom ikan di perairan negara.


“Maritim Malaysia turut menggesa komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang laut serta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page