top of page

Bomba bantu pelajar terjejas banjir duduki peperiksaan STPM di Nabawan

nabalunews

14 Ogos 2024


NABAWAN: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan, di sini terpaksa meminta bantuan bomba untuk dihantar ke sekolah bagi menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) apabila kediaman keluarganya dilanda banjir, hari ini.


Pelajar terbabit yang menetap di Kampung Pumantarian, di sini, menduduki peperiksaan bagi STPM Semester 2.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, Pegawai Bomba Tinggi II, Rudi Mekii berkata, pihaknya menerima panggilan bagi mendapatkan bantuan khidmat khas itu pada jam 7.20 pagi.


Katanya, seramai lapan anggota menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda dan bot dari BBP Nabawan

bergerak ke lokasi kejadian yang terletak 2 kilometer dari balai.


“Sebaik tiba di lokasi di Kampung Pumantarian, berlaku banjir dan rumah pelajar terbabit dinaiki air.


“Pasukan bomba kemudian menghantar pelajar terbabit ke sekolahnya di SMK Nabawan bagi menduduki peperiksaan STPM Semester 2,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, pelajar terbabit dihantar menggunakan kenderaan Toyota Hilux dengan selamat.


“Pasukan bomba seterusnya menjalankan pemantauan di kawasan terjejas banjir menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan bot milik Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).


“Ia susulan keadaan paras banjir yang semakin naik dan belum reda di kawasan perkampungan berkenaan,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page