top of page

Sabah Berhak Nikmati Manfaat Hasil Petroleum Seperti Sarawak

  • nabalunews
  • 15 hours ago
  • 2 min read

30 Mei 2025


PENAMPANG: Sabah berhak menikmati lebih banyak manfaat hasil petroleum seperti Sarawak, bagaimanapun ia mesti dicapai melalui rundingan yang tertib dan bukan tekanan politik.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Persekutuan tidak menolak sebarang permintaan berkaitan hasil negeri selagi ia dilakukan secara tersusun dan menghormati kerangka Perlembagaan.


Katanya, rundingan antara kerajaan negeri Sabah dan kementerian berkaitan akan diteruskan bagi memastikan hasil negeri benar-benar memberi manfaat kepada rakyat khususnya di Sabah.

“Pembangunan Sabah akan terus menjadi tumpuan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), hasil sesi libat urus langsung dengan pemimpin-pemimpin negeri.


“Jadi contoh itu boleh dimanfaatkan di Sabah. Saya tak ada masalah. Apakah, mengapa beri kepada Sarawak dan belum lagi kepada Sabah.


“Kita runding, saya tak ada masalah sama sekali untuk memberi laluan, hasil dan keutamaan hasil seperti mana berlaku di Sarawak untuk negeri Sabah termasuk minyak dan gas.


“Menang kerana rundingan ini bukan menang kerana jeritan maki hamun kita. Menang jerit di luar Tidak menang untuk membela nasib rakyat.


“Saya cadangkan biar menang dengan kerajaan negeri dan bekerjasama dengan persekutuan supaya hasilnya sampai ke bawah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Kaamatan, di Dewan KDCA, di sini, hari ini.


Anwar berkata, kejayaan pembangunan di Sabah banyak bergantung kepada hubungan erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.


Katanya, beliau turut memberi komitmen untuk terus memberi perhatian kepada isu-isu asas seperti elektrik, air, pendidikan dan infrastruktur yang masih membelenggu sebahagian besar kawasan pedalaman.


“Kita kena jaga ini bukan soal kerana ada pilihan raya. Ini soal tanggungjawab kita mana-mana negara tanggungjawab kita pertama, jaga keharmonian.


“Jadi apa saja yang perlu bawa rundingan dengan baik bila hubungan negeri dengan persekutuan, yang mampu kita tunaikan, kita tunaikan,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page