PH Sabah putuskan perkara berkaitan PRN Sabah, Ewon ketuai penyelarasan - Anwar
- Wartawan Nabalu News
- 14 hours ago
- 3 min read

29 Mei 2025
KOTA KINABALU: Perdana Menteri Dato Seri Anwar mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) Sabah sebagai sebahagian program rasmi lawatan kerja beliau di Sabah selama dua hari.
Dalam pertemuan itu, Anwar yang juga Pengerusi PH mengumumkan pelantikan Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, untuk mengetuai penyelarasan PH Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) serta pelaksanaan program-program PH di peringkat negeri.
“PH Sabah ada empat ketua, mereka akan ke depan dan selaraskan dari segi keputusan, sekarang ini nampak mesyuarat semua berjalan, kita tidak rasa ada masalah apa-apa mereka, keempat-empat ke depan dan Ewon boleh selaraskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi PH Sabah, di sini, malam tadi.
Anwar berkata, beliau telah mendengar pandangan pimpinan PH pusat di Kuala Lumpur serta menerima input daripada rakan-rakan pimpinan PH Sabah yang terdiri daripada wakil-wakil KEADILAN, DAP, Amanah, dan UPKO.
“Tadi saya minta pandangan rakan-rakan pimpinan PH Sabah untuk menyusuli pandangan yang telah saya dengar petang tadi di Kuala Lumpur oleh pimpinan keadilan, DAP dan juga Amanah kerana Ewon ada di sini, Parti UPKO.
“Jadi pandangan kita ialah, bila saya datang, saya ambil kesempatan dengar dan pandangan daripada PH Sabah yang akan menentukan keutamaan, strategi, manifesto, kawasan dalam rundingan dengan rakan-rakan sama ada GRS atau BN yang kemudian memutuskan cadangan kawasan dan calon.
“Jadi itu yang saya lakukan untuk mendengar pandangan mereka tentang keutamaan dan pandangan-pandangan ini akan saya bawa untuk perhatian rakan-rakan di pusat kerana keputusan kita adalah untuk menyerahkan pengendalian pilihan raya negeri ini kepada PH Sabah,” katanya.
Anwar berkata kejayaan pembangunan dan pembelaan nasib rakyat Sabah bergantung kepada hubungan erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
“Saya yakin kalau kita mahu bela nasib negeri dan rakyat Sabah, hubungan di antara negeri dan Sabah dengan persekutuan harus intim harus berdasarkan, saling percaya mempercayai seperti mana hubungan baik kita dengan negeri lain seperti Sarawak kerana kekuatan dan hubungan state dan federal yang sangat baik.
“Sebab itu saya mengusulkan supaya rakyat Sabah mengambil kira ini. Mesti ada jaringan yang lebih kuat dengan Sabah dengan kerajaan persekutuan,” katanya.
Anwar menegaskan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Selama ini kita ambil berat, Ini bukan soal kerana ada pilihan raya negeri,. Sebelum ini, sejak dua tahun lebih saya pegang (Perdana Menteri) kita bagi keutamaan MA63 yang dipengusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Fadilah dengan semua Menteri-Menteri dari Sabah dan Sarawak.
“Ini menunjukkan kesungguhan kita. Sebab itu kita boleh selesaikan 9 perkara utama yang tertangguh selama puluhan tahun,” katanya.
Beliau turut menyatakan kesungguhan kerajaan dalam menyelesaikan isu-isu seperti hasil minyak dan keselamatan negeri, termasuk menangani tuntutan waris Kesultanan Sulu.
“Isu-isu yang lebih berat seperti minyak, kita boleh selesaikan dengan Sarawak. Kita boleh usulkan prinsip yang sama supaya hasil yang lebih terjamin untuk Sabah.
“Bagi saya, soal ketelusan, soal tata kelola itu keutamaan,” katanya.
Anwar berkata: “Keajaan inilah yang pertahankan hak Sabah dalam urusan serangan dan permasalahan Sulu dan yang lebih utama kejayaan kita menepis dan mengalahkan tututan mereka”.
“Ini soal maruah satu negeri dalam Malaysia kita ambil satu tindakan dan belanja tinggi untuk pertahankan. Jadi jangan remehkan. Kita beri komitmen yang penuh dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.
Malah katanya, dalam sidang ASEAN baru-baru ini kerajaan pertahankan supaya isu Sabah atau pejabat ASEAN yang dikongsi dengan BIMP-EAGA itu kekal.
“Ini kerana usaha kita pertahankan kepentingan Sabah selain pembangunan yang mesti diteruskan dan dipertingkatkan,” katanya.
Comments