Bomba Sabah siap siaga hadapi musim tengkujuh

24 Disember 2024
KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah sudah bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta Monsun Timur Laut yang dijangka sehingga Mac tahun hadapan.
Pengarah JBPM Sabah, Jainal @ Zainal Madasin berkata, 1,340 kekuatan pegawai dan anggota bomba Sabah termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan Pegawai Bomba Sukarela (PBS) bersama aset akan bertugas di 799 kawasan panas (hotspot) sepanjang tempoh terbabit.
Pada masa sama katanya, sejumlah 938 kekuatan logistik darat dan air iaitu 47 fire rescue tender, 69 bot, 51 pacuan empat roda, 17 kenderaan angkut lima dan tiga tan, 61 peralatan khas serta 693 jaket keselamatan akan digunakan.
“JBPM Sabah mempunyai keperluan yang mencukupi untuk menghadapi fasa Monsun Timur Laut dengan menggerakkan 27 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh Sabah.
“Sepanjang tempoh ini juga kita akan menggerakkan semua pegawai dan anggota termasuk 964 keanggotaan JBPM Sabah, 231 PBB dan 145 PBS yang mana semua cuti akan dibekukan bagi memastikan kelancaran penugasan di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Musim Perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2025 di Ibu Pejabat JBPM Sabah Lintas, di sini, semalam.
Comments