top of page

Bot nelayan disyaki langgar syarat lesen ditahan Maritim Malaysia di perairan Tawau

  • nabalunews
  • 2 minutes ago
  • 1 min read
Tiga nelayan warga asing yang disyaki menarik pukat berhampiran kawasan daratan di laut Kalabakan, ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau, semalam.
Tiga nelayan warga asing yang disyaki menarik pukat berhampiran kawasan daratan di laut Kalabakan, ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau, semalam.

17 Januari 2026


TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada dua batu nautika dari daratan dalam satu operasi, semalam.


Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot itu dikesan sekitar jam 9.15 pagi oleh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Operasi Pluto Timur dan Operasi Sejahtera.


“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan berkenaan sedang menjalankan aktiviti menarik pukat sekitar 1.1 batu nautika di timur laut Kalabakan, iaitu kawasan yang tidak dibenarkan mengikut syarat sah lesen,"katanya kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dikendalikan oleh seorang juragan dan dua anak kapal lelaki berumur di antara 28 hingga 46 tahun yang kesemuanya memegang pasport Indonesia.


Katanya, kesemua individu terbabit, bersama bot dan muatan hasil laut ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.


“Bot nelayan, pukat serta hasil tangkapan turut disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM58,000,”katanya lagi.


Dalam pada itu, Ariffin berkata pihaknya menerima aduan daripada nelayan pantai yang terjejas akibat kehadiran bot pukat tunda yang melanggar syarat lesen dengan menjalankan aktiviti menangkap ikan berhampiran daratan.


Katanya, aktiviti tersebut bukan sahaja merosakkan ekosistem laut, malah turut menjejaskan peralatan menangkap ikan dan sumber pendapatan nelayan tradisional di kawasan pantai.


Sehubungan itu, orang awam diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau menerusi talian 089-750116 atau talian kecemasan 999.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page