top of page
nabalunews

Bual Bicara Usahawan beri pendedahan mengenai pembiayaan, bantuan dan peluang sektor keusahawanan


27 September 2024


TUARAN: Usahawan serta bakal usahawan di Sabah khususnya di daerah Tuaran dan daerah sekitarnya diberikan pendedahan komprehensif mengenai peluang-peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan dalam sektor keusahawanan menerusi penganjuran Bual Bicara Usahawan Peringkat Daerah Tuaran yang berlangsung dengan penuh jayanya di sini, disertai lebih 100 peserta, semalam.


Program yang diadakan di Dewan Kampung Lakang, Tuaran ini dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang diterajui oleh Datuk Ewon Benedick dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran.


Matlamat utama program ini adalah untuk memberi pendedahan serta bimbingan kepada para usahawan dan bakal usahawan di daerah Tuaran dan daerah sekitarnya mengenai peluang-peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan dalam sektor keusahawanan.


Dalam ucapan perasmiannya, Ahli Parlimen P170 Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau telah menekankan kepentingan perubahan minda di kalangan generasi kini, di mana mereka tidak seharusnya hanya bergantung kepada pekerjaan makan gaji.


Sebaliknya, beliau menggalakkan generasi kini untuk menceburi bidang keusahawanan dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan untuk orang lain.


"Dengan pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan pada masa ini, ia adalah masa yang sesuai untuk mereka mengambil langkah ke arah itu," katanya.


Madius berkata program ini juga bertujuan untuk memperkenalkan pelbagai bentuk bantuan, pembiayaan, dan latihan yang tersedia untuk para usahawan dan ahli koperasi.


Melalui sesi bual bicara ini, para peserta berpeluang memahami dengan lebih mendalam mengenai kemudahan yang ditawarkan oleh agensi-agensi kerajaan.


Panel bual bicara terdiri daripada Setiausaha Politik KUSKOP, Carl Moosom, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Sabah, wakil Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) serta wakil daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).


"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang hadir serta ucapan terima kasih kepada KUSKOP kerana memilih Tuaran sebagai lokasi penganjuran program ini.


"Diharapkan semua peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan peluang yang diperoleh daripada program ini.


"Kami juga berharap agar program seumpama ini dapat dianjurkan lagi di masa hadapan, demi meningkatkan lagi pembangunan keusahawanan di Tuaran," katanya.


Sementara itu Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Marudu, Pillexson James, turut hadir dalam program ini, diiringi oleh Setiausaha Pemuda UPKO Kota Marudu dan Ketua Penerangan UPKO Kota Marudu.


Kehadiran mereka bukan sekadar untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai sektor keusahawanan, tetapi juga sebagai sebahagian daripada persiapan penganjuran program yang sama di Kota Marudu pada 24 Oktober ini.


Semasa sesi soal jawab, Pillexson mengajukan soalan kepada panel mengenai bentuk bantuan awal yang tersedia untuk koperasi serta peluang pembiayaan pinjaman khusus bagi golongan belia.


Menurut beliau, penganjuran program keusahawanan seperti ini amat bermanfaat kepada para usahawan dan koperasi, kerana bukan sahaja dapat memberikan maklumat berkaitan pembiayaan, tetapi juga bertindak sebagai pemangkin dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi, khususnya di Kota Marudu, yang merupakan antara daerah termiskin di Malaysia.


Beliau turut menyatakan bahawa program seperti ini mampu membuka peluang dan ruang yang lebih luas kepada usahawan, koperasi, serta penjaja di Kota Marudu untuk membangunkan perniagaan mereka.


Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan program ini.


Pillexson berpuas hati dengan kehadiran pelbagai agensi seperti SKM, INSKEN, TEKUN Nasional, dan IKMa yang berperanan besar dalam menjayakan penganjuran acara ini.


Katanya program ini telah menunjukkan betapa pentingnya sinergi antara usahawan, agensi kerajaan, dan pihak koperasi dalam mewujudkan ekosistem keusahawanan yang lebih baik dan mampan, khususnya di Sabah.

Comments


bottom of page