BUDAK KAMPUNG DARI KUDAT KE PERSADA ANTARABANGSABUDAK KAMPUNG DARI KUDAT KE PERSADA ANTARABANGSA
top of page
  • Chonnel George

BUDAK KAMPUNG DARI KUDAT KE PERSADA ANTARABANGSA



Chonnel George

Nama saya Chonnel George. Saya merupakan anak Rungus yang berasal Kg. Parapat Darat, Matunggong-Kudat, Sabah. Saya merupakan anak ke-7 daripada 8 orang adik-beradik.


Sejak di bangku sekolah, saya memang bercita-cita untuk menjadi seorang guru. Oleh sebab itu, saya melanjutkan pengajian ke profesion perguruan iaitu Sarjana Muda Pendidikan (Muzik) di Universiti Pendidikan Sultan Idris pada tahun 2015 hingga 2019.


Sewaktu berada di universiti, saya sememangnya sangat aktif dalam aktiviti ko-kurikulum dan kepimpinan pelajar. Saya pernah menyandang jawatan penting sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sebagai Wakil Etnik Sabah sebanyak dua kali iaitu pada sesi 2016/2017 dan sesi 2017/2018.

Sejujurnya, bakat kepimpinan saya mulai berputik semasa saya menjadi Naib Yang Dipertua II, Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah UPSI sesi 2016/2017.


Melalui dunia kepimpinan yang saya ceburi di UPSI, ianya sangat membantu saya untuk tampil berani dan yakin dengan apa sahaja yang saya lakukan. Sebagai permulaan, saya pernah mengikuti Program Pertukaran Pelajar Antarabangsa (ISEP) di East Tennessee State University, United States of America (USA) selama lima bulan.

Sewaktu mengikuti program pertukaran pelajar di East Tennessee State University, USA.

Saya amat bersyukur kerana berjaya melepasi fasa-fasa pemilihan untuk program tersebut di mana saya bersaing dengan ribuan pelajar di UPSI, dan berjaya menjadi antara 10 orang yang terpilih. Semua kos perbelanjaan adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak ISEP.


Setelah itu, saya mulai mengorak langkah untuk menyertai persidangan di peringkat antarabangsa iaitu Asia World Model United Nations II (AWMUN II) di Bangkok, Thailand pada bulan Februari 2019.


Saya sedar bahawa meskipun saya mempunyai ikhtisas perguruan, itu tidak menjamin saya untuk mendapatkan penempatan di sekolah menengah oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mudah.

Realitinya, saya perlu bersaing dengan graduan yang tiada ikhtisas perguruan. Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat saya untuk mengejar cita-cita meskipun sudah dua tahun menunggu penempatan di sekolah bersama ratusan graduan pendidikan universiti awam yang lain.


Terkini, saya sedang melanjutkan pengajian Sarjana Pendidikan (Muzik) di UPSI, dan di bawah seliaan Prof. Dr. Mohd Hassan Abdullah. Prof. Hassan ialah insan yang banyak membantu saya dalam dunia penulisan akademik. Saya bukanlah siapa-siapa tanpa tunjuk ajar daripada beliau.


Semasa dalam pengajian master, saya masih bergait aktif untuk menyertai persidangan antarabangsa yang dijalankan secara maya iaitu International Model United Nations 19.0 Online Conference.


Penulisan saya berjaya mengalahkan delegasi-delegasi yang terdiri dari 50 buah negara di seluruh dunia, dengan dinobatkan sebagai anugerah the Best Position Paper untuk World Food Program (WFP) committee. Sebagai makluman, program MUN ini adalah suatu bentuk simulasi akademik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kemahiran komunikasi, berfikir secara kritis, kemahiran penulisan akademik dan diplomasi adalah sangat diperlukan. Saya sedar, tanpa ilmu kepimpinan pelajar sewaktu zaman degree dahulu, saya tidak akan sampai ke tahap ini.


Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan jutaan terima kasih kepada Prof. Dato’ Md Amin Md Taff, selaku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI kerana sudah menjadi mentor sepanjang saya berada di dunia kepimpinan pelajar. Beliau juga seorang yang prihatin dengan kebajikan pelajar Sabah dan Sarawak di UPSI. Kedua, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah UPSI dan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2017/2018 kerana setia bersama sewaktu berada di tampuk kepimpinan.


Terima kasih juga kepada semua rakan yang berada di sisi saya di saat suka dan duka dalam menempuhi liku-liku kehidupan di UPSI. Penghargaaan yang paling terakhir dan istimewa adalah kepada ibu saya iaitu Noruli Amambing, mendiang bapa saya iaitu George Sondili dan adik-beradik saya atas segala sokongan dan dorongan yang tidak pernah berbelah bahagi kepada saya.


Tanpa mereka, saya bukanlah siapa-siapa dan sampai ke tahap ini. Saya juga mohon didoakan agar dapat menamatkan pengajian master saya selewatnya pada bulan Mei ini dan juga akan menerima panggilan penempatan guru di sekolah oleh oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa yang terdekat. Terima kasih atas doa semua.


Chonnel George

Graduan UPSI


bottom of page