Teks Ucapan Perbahasanruu Akta Perbekalan Tambahan (2025) 2026
- nabalunews
- Mar 4
- 3 min read

OLEH
YB DSP WILFRED MADIUS TANGAU
AHLI PARLIMEN P.170 TUARAN
KHAMIS, 26 FEBRUARI 2026
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua,
1. Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025 memohon kelulusan Dewan untuk membelanjakan RM7.938 bilion daripada Kumpulan Wang Disatukan — melibatkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang tidak diperuntukkan dalam Bajet asal 2025. Namun kita dimaklumkan bahawa perbelanjaan sebenar telah mencecah RM9.4 bilion. Dan semua duit ini sudah pun dibelanjakan pada tahun lepas. Angka ini bukan kecil. Ini wang rakyat. Ini amanah negara.
2. Dari sudut fiskal, persoalan pertama ialah kredibiliti belanjawan. Belanjawan tahunan sepatutnya berasaskan unjuran yang munasabah — pertumbuhan KDNK, harga minyak, inflasi dan hasil cukai.
Maka Dewan ini berhak bertanya:
Adakah tambahan hampir RM8 bilion ini benar-benar akibat kejutan luar jangka? Atau kelemahan dalam perancangan dan disiplin unjuran fiskal?
3. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin memberi perhatian kepada pinjaman besar yang diberikan kepada entiti korporat, termasuk Vantris Energy Berhad (dahulunya dikenali sebagai Sapura Energy Berhad) hampir RM480 juta, serta EKVE Sdn Bhd sebanyak RM135 juta.
Secara perakaunan, ini mungkin diklasifikasikan sebagai aset kewangan kerajaan. Tetapi realitinya — ia membawa risiko. Risiko gagal bayar. Risiko kemerosotan nilai. Risiko liabiliti kontingen yang akhirnya ditanggung pembayar cukai.
4. Soalan saya jelas dan tegas:
Apakah penarafan risiko kredit yang diberikan kepada syarikat-syarikat ini?
Adakah Kementerian Kewangan melaksanakan stress test terhadap aliran tunai mereka?
Apakah andaian harga minyak dan kadar faedah yang digunakan?
Jika syarikat ini sebelum ini dalam kedudukan kewangan yang lemah, maka keputusan ini bukan keputusan teknikal semata-mata — ia keputusan berisiko tinggi menggunakan wang rakyat.
5. Kerajaan sering menegaskan komitmen kepada konsolidasi fiskal — mengurangkan defisit dan nisbah hutang kepada KDNK.
Maka kita mesti bertanya dengan jujur:
Adakah langkah ini meningkatkan keperluan pembiayaan kerajaan?
Adakah ia memberi tekanan kepada had hutang statutori?
Adakah ia memberi isyarat yang membimbangkan kepada penarafan kredit negara?
6. Dalam kes lebuh raya konsesi seperti EKVE, kita juga perlu telus tentang struktur pembiayaan.
Adakah terdapat jaminan pulangan minimum?
Adakah kerajaan menanggung risiko permintaan jangka panjang?
Jika projek berdaya maju, pasaran sepatutnya mampu membiayai tanpa sokongan fiskal langsung. Jika tidak berdaya maju, kita mesti berani menilai semula rasional ekonominya.
7. Tuan Yang di-Pertua, sebagai wakil dari Sabah, saya tidak boleh berdiam diri tentang dimensi pengagihan fiskal. Hampir RM8 bilion tambahan ini — berapa yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat di Sabah dan Sarawak?
Bekalan air luar bandar masih bermasalah. Klinik kesihatan masih daif. Bangunan Makmal kesihatan dibina tapi tidak diberi peralatan dan kakitangan untuk mengoperasikan kemudahan itu.
Jalan perhubungan desa masih berlubang dan tidak selamat. Dan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah — masih tertangguh bertahun-tahun. Jika kegagalan kontraktor menjadi alasan, bukankah pemilihan dan pelantikan itu di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan? Apakah kriteria yang digunakan untuk memilih Kontraktor-kontraktor tersebut?
Tuaran mahu kerajaan menyatakan dengan jelas kedudukan kewangan kontraktor-kontraktor yang terlibat. Adakah aliran tunai mereka kukuh? Atau kita bakal menyaksikan campur tangan fiskal sekali lagi — tetapi hanya apabila projek di Semenanjung terjejas? Saya ingin bertanya pernahkah sebuah syarikat di Sabah diberi bantuan kewangan seperti apa yang diberikan kepada syarikat-syarikat di Semenanjung?
8. Tuan Yang di-Pertua,
Disiplin fiskal bukan sekadar angka defisit. Ia soal keutamaan. Ia soal pengurusan risiko. Ia soal integriti dalam membelanjakan wang rakyat.
RM7.9 bilion bukan angka di atas kertas. Ia cukai peniaga kecil. Ia sumbangan pekerja biasa. Ia harapan rakyat di kampung dan bandar.
9. Maka saya mencadangkan kerajaan membentangkan kepada Dewan:
○ Analisis risiko fiskal yang terperinci;
○ Jadual pembayaran balik pinjaman;
○ Penilaian sensitiviti terhadap perubahan kadar faedah dan harga komoditi;
○ Dan strategi keluar yang jelas.
10. Kita tidak menolak bantuan kepada industri. Kita tidak menolak pembangunan. Tetapi setiap sen yang diluluskan Dewan ini mesti disertai dengan ketelusan dan akauntabiliti yang setimpal. Amanah rakyat tidak boleh diurus dengan andaian. Ia mesti diurus dengan disiplin, ketegasan dan keberanian membuat keputusan yang betul.
Tuan Yang di-Pertua, saya akhiri dengan dua rangkap pantun.
Pergi ke Tamu mencari pinang
Tak dapat pinang, terbeli nangka,
Bilion dibelanja bukanlah alang-alang,
Amanah rakyat wajib dipelihara.
Kalau ditegur janganlah memanas,
Surat dihantar tersalah alamat,
Wang rakyat diurus adil dan ikhlas,
Amanah terjaga, negara pun selamat.
Sekian, terima kasih Tuaran mohon menyokong.















Comments