top of page

BUDI95: Kerajaan perluas manfaat kepada 31,000 penerima baharu

  • nabalunews
  • 4 days ago
  • 1 min read

ree

7 Oktober 2025


PUTRAJAYA: Lebih 31,000 rakyat lagi kini menerima manfaat sistem subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95), selepas kerajaan meluaskan kelayakan kepada tiga kelompok baharu.


Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MoF), jumlah itu melibatkan lebih 17,900 nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia selain lebih 4,300 pemilik bot persendirian berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.


Manfaat itu juga diperluas kepada lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.


“MoF telah mengaktifkan kelayakan kepada individu-individu terbabit, menjadikan mereka sebahagian daripada lebih 16 juta rakyat yang kini memanfaatkan harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi,” menurut kenyataan itu hari ini.


Kementerian itu berkata, pihaknya kini sedang memuktamadkan data tambahan melibatkan pengguna bot yang tidak mempunyai lesen memandu di negeri-negeri lain di seluruh negara, khususnya Sabah dan Sarawak.


Pada masa katanya, perbincangan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat dan syarikat pengendali e-hailing juga sedang diselaras bagi pelaksanaan penambahan siling kelayakan melebihi 300 liter sebulan kepada pemandu sepenuh masa.


Menurut MoF, manfaat itu diberikan kepada pemandu e-hailing sepenuh masa bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka tidak terjejas.


“Kerajaan Madani kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.


“MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu lagi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page