BUDI95: Kuota 300 liter mencukupi, purata rakyat guna 98 liter sebulan
- nabalunews
- 46 minutes ago
- 1 min read

11 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Had kelayakan subsidi sebanyak 300 liter sebulan di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95) adalah mencukupi dan wajar bagi menampung keperluan penggunaan peribadi majoriti rakyat Malaysia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, berdasarkan data kerajaan sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi berkenaan, 99 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 300 liter petrol sebulan.
“Sejak pelaksanaan penyasaran subsidi RON95, penerima BUDI95 persendirian mencatatkan purata penggunaan sebanyak 98 liter sebulan iaitu hanya 33 peratus daripada had kelayakan bulanan yang ditetapkan.
“Majoriti rakyat Malaysia menggunakan kurang 300 liter sebulan. Oleh itu, perjalanan harian mereka akan terus dilindungi sepenuhnya di bawah kadar RM1.99 seliter,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman mengenai rasional penetapan harga RM1.99 bagi 300 liter pertama, sebelum kembali kepada harga apungan RM2.60 untuk penggunaan melebihi kuota berbanding cadangan harga berperingkat seperti RM2.10 atau RM2.30.
Amir Hamzah menjelaskan kerajaan berpandangan penetapan harga berperingkat selepas kuota dilihat masih mengekalkan elemen subsidi yang tidak efisien.
Menurutnya, langkah itu sekaligus meningkatkan risiko ketirisan dan tidak menyumbang kepada pengukuhan kedudukan fiskal negara.
“Kerajaan akan terus memantau dengan teliti pola dan corak penggunaan serta menilai semula had berkenaan dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan pelaksanaan dasar penyasaran subsidi RON95 sentiasa diperhalusi dan diperkukuh demi manfaat rakyat serta kelestarian fiskal negara,” katanya.














