top of page

BUDI95: Pemegang lesen memandu belum kemaskini MyKad diminta ke JPJ

  • nabalunews
  • Sep 30
  • 1 min read

ree

30 September 2025


KUALA LUMPUR: Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) dengan nombor kad pengenalan lama serta pesara polis dan tentera yang masih menggunakan Lesen Memandu Pasukan, diminta mengemas kini maklumat mereka di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Kementerian Pengangkutan berkata, ia bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima subsidi petrol di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).


Katanya, hasil semakan JPJ mendapati sebanyak 0.88 peratus atau kira-kira 50,000 orang daripada hampir 17 juta penerima BUDI95 masih belum mengemaskini maklumat LLM dengan tidak membekalkan maklumat nombor kad pengenalan diri baharu.


“Ia merangkumi pemegang LMM yang pada asalnya memohon lesen dengan menggunakan dokumen pengenalan diri seperti nombor kad pengenalan lama, nombor Sijil Kelahiran Malaysia (SKM) dan nombor pengenalan diri tentera dan polis.


“Selain itu, pemegang LMM yang masih menggunakan Lesen Memandu Pasukan yang dikeluarkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut kementerian itu, pemegang LMM dengan nombor kad pengenalannya terdapat kesilapan atau menimbulkan red-flag yang memerlukan semakan lanjut oleh pihak berkenaan turut diminta ke kaunter JPJ berdekatan.


Kementerian Pengangkutan dan JPJ, katanya komited sepenuhnya untuk membantu semua warganegara Malaysia yang terlibat untuk datang ke mana-mana pejabat atau kaunter JPJ bagi membuat permohonan pengemaskinian data LMM.


“Data yang dikemaskini akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan bagi tujuan pengesahan dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


“Sekiranya tiada sebarang isu berbangkit atau red-flag, maklumat individu tersebut akan terus dikemaskini dalam sistem BUDI95,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page