top of page

Cabar Keputusan PRN Karanaan Gagal, Naomi Diarah Bayar RM10,000

  • nabalunews
  • 48 minutes ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


12 Mac 2026


KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan semakan kehakiman oleh calon Bebas, Naomi @ Neomi Francis, yang cuba membatalkan kemenangan Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) November lalu.


Hakim Datuk Alexander Siew How Wai memutuskan bahawa permohonan yang difailkan pada 26 Disember 2025 itu adalah frivolous (remeh) dan vexatious (menyusahkan). Mahkamah menegaskan bahawa satu-satunya saluran yang betul untuk mencabar keputusan pilihan raya adalah melalui petisyen pilihan raya di Mahkamah Pilihan Raya, bukan menerusi semakan kehakiman.


"Syarat untuk mendapatkan kebenaran belum dipenuhi dan perkara ini tidak sesuai untuk disemak melalui semakan kehakiman," kata Hakim Siew.


Selain menolak permohonan, mahkamah turut mengarahkan Naomi membayar kos sebanyak RM10,000; dengan RM5,000 kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dan RM5,000 lagi kepada pihak Masidi selaku responden kedua.


Dalam permohonannya, Naomi yang hanya memperoleh 115 undi mendakwa proses pilihan raya itu dicemari rasuah dan salah laku, termasuk dakwaan pengundi ditawarkan wang tunai oleh individu yang dikaitkan dengan calon yang menang. Bagaimanapun, mahkamah tidak dapat mempertimbangkan dakwaan tersebut kerana kesilapan prosedur dalam memfailkan kes.


Untuk rekod, pada PRN Sabah 29 November 2025, Masidi yang merupakan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengekalkan kerusi DUN Karanaan dengan majoriti besar 5,361 undi dalam pertandingan tujuh penjuru. Naomi mewakili diri sendiri, manakala Masidi diwakili peguam Rizwandean Bukhary M Borhan, Shahlan Jufri dan Elhanan James. Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Alwi mewakili AGC.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page