top of page
  • Wartawan Nabalu News

Cadangan GRS tanding semua kerusi DUN, pandangan peribadi Yong dan SAPP - Nizam


14 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk pilihanraya negeri akan datang belum lagi dibincangkan oleh pimpinan tertinggi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.


Beliau berkata, ini kerana fokus Kerajaan Perpaduan GRS Plus Sabah pada masa ini ialah untuk terus komited melaksanakan segala agenda pembangunan negeri dan rakyat Sabah selaras dengan Pelan Halatuju Sabah Maju Jaya.

 

“Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan DSP Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri adalah stabil dan berjalan dengan baik atas sokongan semua pihak dari GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.


“Kita menghargai dan berterima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh rakan-rakan pimpinan PH Sabah terutama semasa kita menghadapi 'Langkah Kinabalu' awal tahun ini iaitu krisis politik yang ditimbulkan oleh Warisan dan sebahagian pimpinan UMNO Sabah.


“Sokongan dan kerjasama yang terjalin dalam kerajaan Perpaduan GRS Plus hari ini dapat diperkukuh dan diteruskan demi kebaikan rakyat dan kepentingan Negeri Sabah tercinta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Nizam berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee yang mencadangkan supaya GRS bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah.


Nizam berkata, ia adalah pandangan peribadi Yong dan Parti SAPP.


“Kita menghormati pandangan beliau ini namun ia bukanlah melambangkan pandangan GRS secara kolektif,” katanya.

bottom of page