Cadangan mekanisme pembayaran 40%, inisiatif selesai tuntutan hak Sabah
top of page
  • nabalunews

Cadangan mekanisme pembayaran 40%, inisiatif selesai tuntutan hak Sabah

Oleh Rizoh Evied


Cadangan mekanisme pembayaran 40 Peratus yang dikemukakan oleh pemimpin Sabah kepada kerajaan Negeri perlu disokong semua pihak.


Sudah sekian lama kita melihat ramai pemimpin dan badan NGO hanya menyuarakan atau memperjuangkan isu tersebut di media sosial, di kedai-kedai kopi atau dalam perbahasan sidang parlimen/DUN namun sehingga kini tiada sebarang kaedah konkrit mengenai cara penyelesaiannya telah dikemukakan kepada kerajaan negeri mahu pun kepada Kerajaan Persekutuan.


Sebagai Rakyat Sabah, saya menyokong dan menyambut baik inisiatif Datuk Ewon Benedick mengemukakan cadangan kerangka mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip di Sabah sepertimana termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, kepada Ketua Menteri Sabah untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha menuntut hak tersebut.


Ewon, yang juga Ahli Parlimen P.174 Penampang dan ADUN N11 Kadamaian telah mengemukakan cadangan tersebut ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor baru-baru ini. Beliau juga turut mencadangkan agar satu pre-council melibatkan anggota-anggota mesyuarat daripada Sabah diadakan lebih awal agar pemimpin-pemimpin Sabah dapat membawakan naratif yang sama.


Kerangka mekanisme yang dikemukakan oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) tersebut adalah sebagai komitmen dan insiatif Parti UPKO untuk melihat pelaksanaan pemberian 40% yang lebih praktikal, dengan mengambilkira isu-isu teknikal berkaitan dengan kebolehdapatan data berkaitan dengan kutipan hasil persekutuan di Sabah sejak tahun 1974 sehingga kini.


Umum maklum bahawa cadangan mekanisma tersebut adalah hasil perbincangan meja bulat yang melibatkan mantan Ketua Menteri Tan Sri Bernard Dompok, wakil Sabah di Lembaga Hasil Dalam Negeri Datuk Petrus Gimbad, mantan Presiden Sabah Law Society Datuk Roger Chin dan Datuk John Sikayun, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah Profesor Datuk Dr Ramzah Dambul dan mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing.


Sebagai rakyat Sabah, kita mahu melihat pemimpin-pemimpin Sabah untuk berganding bahu dalam memastikan sebarang pembayaran khas kepada Sabah haruslah berasaskan kepada formula 40 peratus sepertimana dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan. Pemimpin-pemimpin Sabah dari pelbagai peringkat kepimpinan seharusnya menyokong dan menyambut baik usaha-usaha yang dilakukan oleh rakan-rakan pemimpin lain yang turut sama berjuang menuntut komitmen kerajaan persekutuan untuk melaksanakan pemberian 40 peratus tersebut.


Pada pandangan saya, Rakyat Sabah tidak ingin melihat pemimpin-pemimpin Sabah saling mempersenda usaha dan insiatif rakan-rakan pemimpin lain. Rakyat Sabah lebih mengharapkan agar pemimpin-pemimpin Parti tempatan dan badan-badan NGO lain yang selama ini turut melaungkan perjuangan MA63 untuk turut tampil mengemukakan cadangan kaedah dan mekanisma pembayaran semula 40 peratus yang praktikal kepada kerajaan negeri Sabah dan juga kepada kerajaan Persekutuan untuk diperhalusi.


Cadangan-cadangan seumpama ini sudah tentunya akan lebih memudahkan kepimpinan kerajaan Negeri merangka strategi dan menyusun dokumen-dokumen berkaitan untuk memperhalusi mekanisma pemberian 40 peratus tersebut. Cadangan-cadangan tersebut juga memberikan isyarat kepada Kerajaan Persekutuan bahawa kepimpinan dan rakyat Sabah semakin memahami hak dan tanggungjawab mereka, khususnya berkaitan MA63.


Andaikata cadangan mekanisma yang dikemukakan oleh YB Datuk Ewon atau pemimpin lain tersebut tidak sesuai, maka mereka yang mempersoalkan dan memperlekehkan inisiatif tesebut, perlu juga berinisiatif untuk mengemukakan cadangan mekanisma yang lebih baik dan praktikal. Rakyat Sabah sedang melihat dan menilai pemimpin-pemimpin tersebut berdasarkan usaha dan inisiatif mereka untuk memastikan hak Sabah seperti pembayaran semula 40 peratus tersebut terlaksana.

bottom of page