top of page

Kenyataan Penuh Datuk Donald Mengenai Usaha MINDET Tangani Kesesakan Pelabuhan Sepanggar

  • nabalunews
  • 60 minutes ago
  • 3 min read

Kenyataan Media

YB Datuk Donald Peter Mojuntin

Pengerusi, Lembaga Pelabuhan Sabah (SPA)


Lembaga Pelabuhan Sabah (SPA) memandang serius kebimbangan yang dibangkitkan oleh pihak industri, persatuan perniagaan serta beberapa pemimpin politik berhubung keadaan kesesakan operasi di Pelabuhan Sepanggar Bay Container Port (SBCP).


Sebagai sebuah ekonomi yang sangat bergantung kepada perdagangan, import, eksport dan rantaian bekalan maritim, kerajaan negeri memahami bahawa kecekapan pelabuhan bukan sekadar isu logistik — ia berkait langsung dengan kos sara hidup rakyat, daya saing industri dan keyakinan pelabur terhadap Sabah.


Sehubungan itu, saya ingin menyatakan bahawa SPA dan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MINDET) tidak memandang ringan perkara ini. Menteri berkaitan sendiri telah memberikan perhatian serius dan beberapa langkah interim telahpun mula digerakkan bagi mengurangkan tekanan semasa sementara penyelesaian jangka sederhana dan panjang dipercepatkan.


Malah, sebelum kebimbangan ini dibangkitkan secara terbuka oleh bekas Menteri, Datuk Ginger Phoong, pihak SPA bersama MINDET dan Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) telahpun mengambil inisiatif awal untuk memindahkan operasi Roll-on/Roll-off (Ro-Ro) dari SBCP ke Kota Kinabalu Port sebagai salah satu langkah interim tambahan bagi membantu mengurangkan kesesakan di SBCP. Langkah ini melibatkan penyediaan ruang dan pengaturan operasi yang bersesuaian bagi memastikan perpindahan tersebut dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan demi memberi lebih kapasiti kepada pengendalian kontena di SBCP.


Dalam masa yang sama, SPA juga memainkan peranan penting dalam usaha menyediakan ruang tambahan bagi operasi kontena di SBCP. Usaha ini sedang berjalan secara aktif ketika ini bersama pihak berkaitan.


Sesungguhnya, SPA melihat isu kesesakan pelabuhan ini sebagai satu perkara berkepentingan nasional (national interest) dan kepentingan ekonomi Sabah yang memerlukan tindakan segera dan berani.


Dalam perkara ini, SPA menghargai sokongan MINDET serta kerjasama positif pihak operator SBCP bagi memastikan langkah-langkah interim tambahan ini dapat direalisasikan secepat mungkin. Inisiatif ini juga merupakan tambahan kepada lapan langkah interim yang telah diumumkan oleh Menteri MINDET pada awal Februari tahun ini.


Harus juga dinyatakan bahawa sejak mengambil alih kementerian pada Disember 2025, Menteri MINDET, YB Datuk Ewon Benedick, telah menunjukkan pendekatan yang sangat dinamik, proaktif dan hands-on dalam menangani isu kesesakan di SBCP. Walaupun sesuatu penyelesaian memerlukan masa untuk memberi kesan sepenuhnya, pelbagai usaha yang nyata, berterusan dan boleh dilihat sedang dilaksanakan bagi mempercepatkan hasil yang positif.


Bagi pihak SPA, saya ingin merakamkan penghargaan atas usaha tanpa mengenal penat lelah yang ditunjukkan oleh Menteri MINDET dalam mengurus dan menyelaras tindakan berkaitan isu ini.


Kita menerima hakikat bahawa terdapat cabaran operasi yang sedang berlaku, termasuk peningkatan volume kontena, tekanan terhadap kapasiti yard, ketibaan kapal yang tidak sekata, serta gangguan operasi yang memberi kesan kepada turnaround time dan aliran keluar masuk kontena. Dalam keadaan global yang turut mencabar ketika ini, termasuk ketidaktentuan geopolitik dan tekanan kos logistik antarabangsa, kesannya sememangnya dirasai lebih ketara oleh Sabah sebagai negeri yang sangat bergantung kepada pengangkutan laut.


Namun demikian, fokus utama kita sekarang bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak secara terbuka, tetapi untuk memastikan semua pihak — kerajaan, SPA, operator pelabuhan, syarikat perkapalan, pengangkut kontena dan pemain industri — bekerjasama secara konstruktif bagi menstabilkan keadaan secepat mungkin.


SPA mengambil serius kebimbangan berkaitan surcaj tambahan dan peningkatan kos logistik yang memberi tekanan kepada pengilang, peniaga serta pengguna di Sabah. Perkara ini telah diberi perhatian segera oleh MINDET bersama SPA melalui perbincangan yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri MINDET pada 15 Mei 2026 bersama pihak industri berkaitan. Hasil beberapa siri perbincangan tersebut, pihak “feeder operators” telah bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan surcaj tambahan itu buat masa ini bagi membantu mengurangkan tekanan kos ke atas rantaian bekalan dan ekonomi negeri, serta memberi ruang kepada penyelesaian jangka sederhana dan panjang untuk terus diperhalusi secara bersama.


Pada masa sama, kita juga mengalu-alukan pandangan dan cadangan yang membina daripada semua pihak termasuk persatuan industri dan wakil rakyat. Cadangan-cadangan seperti memperkukuh koordinasi operasi, mempercepatkan penambahbaikan aset dan peralatan, meningkatkan kecekapan yard management serta memperbaiki ketelusan komunikasi operasi adalah perkara yang wajar diberi perhatian bersama.


Apa yang penting sekarang ialah tindakan yang tenang, tersusun dan berorientasikan penyelesaian. Saya percaya Sabah mempunyai kemampuan untuk mengatasi cabaran ini.


Pelabuhan Sepanggar Bay kekal sebagai aset strategik utama kepada pembangunan ekonomi negeri dan kerajaan negeri komited memastikan sistem pelabuhan Sabah terus diperkukuhkan demi kepentingan jangka panjang rakyat dan industri.


SPA akan terus bekerjasama rapat dengan MINDET, operator pelabuhan dan semua agensi berkaitan bagi memastikan langkah-langkah penstabilan dan penambahbaikan berjalan dengan segera dan berkesan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page