top of page

PUDS Seru Isu Konsert Israel Houghton Dinilai Secara Adil, Berlandaskan Undang-Undang

nabalunews
3 days ago
2 min read

Oleh: Romie Stanley Dguns


KOTA KINABALU, 6 Okt: Pertubuhan Usahawan Dusun Sabah (PUDS) menyeru pihak berkuasa menilai cadangan penganjuran konsert penyanyi gospel antarabangsa, Israel Houghton, di sini secara adil dan profesional berdasarkan undang-undang, keselamatan serta sensitiviti masyarakat setempat.


Presidennya, Raynold Saikam Salinggou, berkata keharmonian masyarakat majmuk Sabah perlu terus dipelihara dalam menangani kontroversi itu supaya perbezaan agama, bangsa dan pandangan politik tidak mewujudkan perpecahan.


“Justeru, isu ini perlu ditangani secara adil, konsisten dan berasaskan undang-undang, bukannya melalui sentimen yang akhirnya boleh mewujudkan jurang antara masyarakat Islam, Kristian dan penganut agama lain di Sabah,” katanya.


Beliau berkata PUDS mengambil maklum dan berkongsi prinsip yang diketengahkan Tan Sri Anifah Aman berhubung isu berkenaan.


Menurutnya, sekiranya artis terbabit mematuhi undang-undang tempatan, menghormati sensitiviti masyarakat dan langkah sewajarnya diambil bagi mengelakkan provokasi, penganjuran itu tidak sepatutnya dihalang semata-mata kerana merupakan konsert Kristian.


Pada masa sama, beliau berkata PUDS menghormati hak USIA dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Sabah untuk menyuarakan kebimbangan secara aman melalui saluran undang-undang.


Menurutnya, pihak yang membantah menjelaskan bahawa pendirian mereka bukan berasaskan agama atau bangsa, sebaliknya berkaitan pendirian politik artis berkenaan terhadap Israel serta sensitiviti mengenai penderitaan rakyat Palestin.


Raynold berkata pandangan politik peribadi seseorang artis perlu dibezakan daripada hak sesuatu komuniti menjalankan aktiviti keagamaan secara aman dan sah.


Katanya, kebenaran mengadakan persembahan tertakluk kepada undang-undang tidak semestinya bermaksud kerajaan, penganjur atau masyarakat Sabah bersetuju dengan setiap pendirian politik artis terbabit.


Sehubungan itu, beliau mencadangkan syarat penganjuran yang jelas ditetapkan sekiranya terdapat risiko provokasi politik, manakala sebarang kebimbangan keselamatan perlu ditangani berdasarkan penilaian objektif.


“Kita boleh bersolidariti dengan penderitaan rakyat Palestin dan pada masa yang sama mempertahankan keharmonian serta hak masyarakat beragama di Sabah. Kedua-duanya tidak semestinya bercanggah,” katanya.


Beliau berkata Sabah mempunyai sejarah panjang kehidupan bersama masyarakat pelbagai agama, etnik dan budaya yang perlu dipertahankan melalui sikap saling menghormati serta kesediaan berdialog.


Menurutnya, kepelbagaian itu seharusnya menjadi kekuatan masyarakat, bukannya tembok yang memisahkan mereka.


Dari sudut ekonomi, katanya, keyakinan pelabur, pelancong dan komuniti perniagaan turut bergantung pada kestabilan sosial serta kemampuan mengurus kepelbagaian secara matang.


Beliau berkata urusan perniagaan merentasi perbezaan agama pelanggan, manakala peluang pekerjaan dan pembangunan perlu memberi manfaat kepada semua kaum.


Tegasnya, Sabah dibangunkan oleh seluruh rakyat, bukannya satu agama, bangsa atau kelompok sahaja.


“Marilah kita mempertahankan Sabah sebagai rumah bersama, tempat masyarakat Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan kepercayaan lain dapat hidup, bekerja, berniaga dan membangunkan negeri ini dalam suasana saling menghormati.


“Perbezaan kepercayaan tidak seharusnya memisahkan kita; rasa hormat, keadilan dan kepentingan bersama harus menyatukan kita,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page