Cadangan pembentukan Perikatan Borneo dijangka tarik minat ahli politik Sabah, Sarawak

26 Feb 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong Justin Wong berkata, cadangan Parti Warisan dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk membentuk Perikatan Borneo (Bornean Alliance) dijangka dapat menarik minat ahli politik di Sabah dan Sarawak dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, cadangan itu sangat bertepatan ketika ini dan memberi harapan baharu kepada rakyat kedua-dua negeri untuk pembangunan yang lebih baik pada masa akan datang.
Katanya, walaupun kerjasama itu hanya perbincangan awal tetapi ia pasti akan mendapat sokongan ramai pihak yang mahukan kedua-dua negeri ini bersatu.
“Dengan kerjasama itu, sudah pasti potensi untuk kedua-dua negeri di Borneo mendapatkan lebih banyak kuasa autonomi dan peruntukan daripada persekutuan akan tercapai.
“Kita menyedari rakyat sudah mula bosan dengan politik dari Semenanjung terutamanya insiden 'Langkah Sheraton' mengakibatkan berlakunya kemelut politik yang berpanjangan,” katanya dalam kenyataan media.
Justin berkata, negara kini menemui jalan buntu untuk memulihkan keadaan politik dan memerlukan pemimpin baharu yang adil, tanpa rasuah untuk memimpin Malaysia.
“Kedua-dua negeri Borneo seperti saudara kandung sebelum pembentukan Malaysia dan perlunya menjadi satu kuasa yang kuat pada masa akan datang.
“Kerjasama yang bakal terbentuk itu nanti sudah pasti akan membentuk satu pentadbiran yang lebih kuat dan digeruni oleh pemimpin di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata, Pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan menandakan permulaan baharu bagi Sarawak dan Sabah dari segi penyusunan semula status wilayah.
Oleh itu katanya, Malaysia perlu formula baharu bagi membentuk semula landskap politik yang lebih demokrasi di peringkat negeri dan persekutuan.
Sebelum ini dalam laporan media, PSB dan Parti Warisan merancang membentuk Perikatan Borneo bagi menghadapi PRU-15.
Ahli Majlis Presiden PSB Baru Bian dipetik sebagai berkata, perkara itu telah dibincangkannya menerusi beberapa pertemuan dengan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.
Komentar