top of page

Cadangan Wujud Pekan Bandar Pintar Di Bandau Dibentang

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


5 Mac 2026


KOTA MARUDU: Kerajaan negeri melalui Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) telah membentangkan cadangan untuk mewujudkan sebuah pekan baharu berkonsepkan Bandar Pintar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, dekat sini,pada 27 Februari lalu.


Pembentangan yang turut menggariskan Pelan Strategik Pembangunan DUN Bandau 2026-2036 itu diadakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKT) Kota Marudu yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, Meirin Sugara.


Menurut perancangan, pekan berkenaan bakal berperanan sebagai hab perkhidmatan utama di Zon Utara Sabah yang dijangka mampu merancakkan lagi pertumbuhan sosioekonomi setempat. Integrasi konsep Bandar Pintar akan diterapkan bagi memastikan pembangunan yang mampan dan berteknologi tinggi di kawasan terbabit.


Pembentangan diketuai oleh Pengarah Bersekutu IDS, Anita Limjoon, bersama-sama dua pegawai penyelidik iaitu Mohd Rizal Muslihin dan Hajah Royaini Matusin.


Turut hadir sama dalam mesyuarat tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau merangkap Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Moijol Mahap.


Pelan Strategik Pembangunan DUN Bandau 2026-2036 yang dibentangkan itu merupakan kajian lanjutan daripada Pelan Strategik Pembangunan Kota Marudu 2025-2035. Ia akan menjadi dokumen rujukan khusus untuk menyelaras projek dan agihan sumber di DUN Bandau, memastikan pembangunan di kawasan itu sejajar dengan agenda daerah serta aspirasi Kerajaan Negeri Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page