Calon PH tarik diri bertanding DUN Silam
- nabalunews
- 9 minutes ago
- 1 min read

17 November 2025
KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Halim Sidek Gulam Hassan disahkan menarik diri daripada bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU Sabah) Ke-17.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya menghormati keputusan tersebut yang dibuat secara bertanggungjawab selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan.
Ia termasuk menjaga hubungan baik dan keharmonian antara parti-parti komponen dalam PH serta rakan kerjasama politik di Sabah.
“Saya ingin menegaskan keputusan ini adalah keputusan peribadi beliau tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak luar.
“Semangat setiakawan dan keutuhan kerjasama politik sentiasa menjadi keutamaan kami dalam memastikan kestabilan politik Sabah terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mustapha, meskipun tidak bertanding, Abdul Halim Sidek telah menyatakan komitmen untuk terus berkhidmat kepada penduduk Silam dan Lahad Datu dalam kapasiti yang mampu disumbangkan.
PKR Sabah, katanya menghargai semangat perjuangan Abdul Halim Sidek yang tidak pernah pudar demi rakyat dan negeri Sabah.
“Kami menyeru seluruh jentera dan penyokong PH di Silam khususnya dan Lahad Datu amnya agar kekal tenang, terus fokus dan terus memperkukuh perpaduan demi kemenangan gabungan kita dan masa depan rakyat Sabah,” katanya.
Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, DUN Silam menyaksikan saingan sembilan penjuru termasuk pertembungan calon PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Namun, dengan penarikan diri Abdul Halim, saingan DUN Silam kini lapan penjuru.














