Carlye Wakili Ewon, Seru Perpaduan Melalui Pesta Kaamatan Di Kampung Gensurai

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 9 Jun – Pesta Kaamatan 2026 peringkat Kampung Gensurai telah berlangsung pada 6 Jun lalu bertempat di Dewan Terbuka Kampung Gensurai, dengan perasmian diwakili Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri III, Carlye Lajimin, mewakili Datuk Ewon Benedick yang tidak dapat hadir.
Majlis anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Gensurai itu turut diserikan dengan ucapan daripada Carlye yang menegaskan bahawa Pesta Kaamatan bukan sahaja tanda kesyukuran atas hasil tuaian, malah menjadi medium memupuk perpaduan, semangat kekitaan serta melestarikan adat dan budaya.

Dalam ucapannya, Carlye turut menyampaikan salam kemaafan daripada Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, serta mengucapkan tahniah kepada penganjur atas kejayaan penganjuran pesta tersebut.
Mengenai isu pembangunan infrastruktur, beliau memaklumkan akan menyampaikannya kepada pihak ADUN Kadamaian untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Kaamatan, Raimin Iki, dalam ucapan alu-aluan berterima kasih kepada sokongan komuniti, sumbangan daripada Ewon, serta kesemua penyumbang dari Kampung Gensurai dan kampung-kampung lain.
Beliau berharap golongan belia meneruskan kesinambungan adat dan budaya, perpaduan serta keharmonian.
Pengerusi JKKK Kampung Gensurai, Ensin Botingot, turut mengambil kesempatan menyampaikan permintaan komuniti berkaitan pembangunan infrastruktur serta sumbangan keperluan kepada komuniti kepada ADUN Kadamaian.
Turut hadir, Pemaju Mukim Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Hadlee Panchai, Ketua Kampung Rubin Botingot, serta pemimpin-pemimpin komuniti dan gereja.















Comments