• nabalunews

COVID-19: EMPAT KLUSTER BAHARU HARI INI TERMASUK KLUSTER OLIVE DI SABAH



15 OKTOBER 2020

KOTA KINABALU: Empat Kluster baharu dilaporkan hari ini, masing-masing satu di Sabah, Negeri Sembilan, Perak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kluster baharu itu dikenali sebagai Kluster Olive Sabah, Kluster Bah Pasir Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kluster Bah Pengkalan Perak, dan Kluster Saguking Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Olive Sabah melibatkan daerah Hulu Langat di negeri Selangor dan daerah Kota Marudu dan Penampang.

Beliau berkata, kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti di Selangor hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi di negeri ini.

“Kes dikesan positif Covid-19 pada 2 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 16 lagi kes positif Covid-19,” katanya dalam sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Noor Hisham berkata, Kluster Bah Pasir melibatkan daerah Port Dickson di Negeri Sembilan dan daerah Putrajaya di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Katanya, kes indeks bagi kluster itu dikenal pasti hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi di negeri ini.

“Kes dikesan positif Covid-19 pada 8 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti empat lagi kes positif Covid-19.

“Sehingga 15 Oktober sejumlah 82 individu telah disaring, di mana lima kes dikesan positif, 74 individu negatif dan tiga individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata bagi Kluster Bah Pengkalan, ia melibatkan daerah Hulu Perak di negeri Perak dan kes ini dikenal pasti hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi di negeri ini.

“Kes dikesan positif pada 8 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti lima lagi kes positif. Sehingga 15 Oktober sejumlah 330 individu telah disaring iaitu enam kes positif, 47 individu negatif dan 277 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Noor Hisham berkata, Kluster Saguking pula melibatkan Wilayah Persekutuan Labuan dan kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti positif hasil saringan kemasukan ke Hospital Labuan pada 11 Oktober.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti empat lagi kes positif Covid-19. Sehingga 15 Oktober, sejumlah 43 individu telah disaring di mana lima kes dikesan positif, tiga individu negatif dan 35 individu masih menunggu keputusan,” katanya.