Covid-19: Sabah catat 504 kes baharu, terendah sejak 22 Julai Covid-19: Sabah catat 504 kes baharu, terendah sejak 22 Julai
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Sabah catat 504 kes baharu, terendah sejak 22 Julai


19 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes Covid-19 baharu di Sabah menunjukkan penurunan yang agak ketara hari ini iaitu sebanyak 504 kes, 135 kes lebih rendah daripada semalam.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata jumlah kes harian tersebut merupakan angka terendah direkodkan sejak 22 Julai 2021.


Beliau berkata sebanyak 15 daerah mencatatkan penurunan kes, lapan daerah mencatatkan peningkatan dan empat daerah lagi mengekalkan catatan sebagaimana semalam. Hanya satu sahaja daerah yang mencatatkan peningkatan dua angka iaitu daerah Tongod dengan penambahan 10 kes.


Manakala daerah-daerah yang mencatatkan penurunan kes dua angka ialah Kota Belud (-30) kes, Ranau (-28) kes, Kota Kinabalu (-20) kes, Kudat (-17) kes, Putatan (- 14) kes, Sipitang (-13) kes dan Keningau (-10) kes.


Jelasnya tidak ada daerah yang merekodkan kes tiga angk. Hanya Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi pada hari ini iaitu (60) kes.


“Sungguhpun trend penurunan kes harian agak memberangsangkan, tetapi kita belum memenangi peperangan melawan pandemik COVID-19 ini.


“Seperti yang diramalkan sebelum ini, kita berada dalam trend “yo-yo”, sekejap turun dan sekejap naik. Sikap kita sendiri yang akan menentukan bagaimana trend akan datang ditentukan,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.


Masidi berkata daripada jumlah kes yang dicatat hari ini, 198 kes atau 39.29 peratus merupakan kes Saringan Bergejala atau kes-kes yang berlaku secara sporadik.


Tambahnya lagi, daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, 92.06 peratus adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, manakala enam kes dalam Kategori 3, tiga kes dalam Kategori 4 dan dua kes dalam Kategori 5.


“Sebanyak tujuh kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu lima (5) kes di Sandakan manakala Kota Kinabalu dan Tawau masing-masing mencatatkan satu (1) kes kematian.


“Bagi bilangan pesakit yang sembuh pada hari ini ialah 1,016 menjadikan jumlah kumulatif 198,463 orang.


“Manakala 2,180 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 854 orang di hospital, 1,318 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, tujuh orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau Penjara dan satu orang di fasiliti swasta,” ujarnya.


Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 106 orang merangkumi 99 di ICU serta tujuh di open ward kubikel akutdan 37 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

bottom of page