• Wartawan Nabalu News

COVID-19: SABAH CATAT 578 KES BAHARU DARIPADA 847 KES SELURUH NEGARA


22 OKTOBER 2020

KOTA KINABALU: Sabah masih mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 578 kes atau 68.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes 847 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 23,804 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 8,183 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, Sabah masih mencatatkan jumlah kes tertinggi hasil usaha gigih yang dijalankan di Sabah, di mana lebih banyak petugas kesihatan telah dimobilisasikan daripada semenanjung Malaysia dan juga dari dalaman negeri Sabah untuk terus menjalankan saringan di lapangan,

“Pada masa yang sama, lebih banyak ujian makmal RT-PCR telah dapat dijalankan di Sabah dan dihantar ke Semenanjung Malaysia, di samping pertambahan ujian saringan RTK Antigen untuk ujian segera dijalankan di lapangan,” katanya, pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Noor Hisham berkata, negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan pertambahan sebanyak 164 kes (19.4 peratus dari jumlah keseluruhan kes).

“Daripada 164 kes baharu, 71 kes (43.3 peratus) adalah daripada kluster-kluster sedia ada dan baharu. Negeri-negeri ini telah pun diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 yang dilihat semakin serius.

Beliau berkata, secara keseluruhan, sebanyak 13 kes (1.6 peratus) pada hari ini adalah daripada Kluster Penjara Reman, Kluster Tembok dan saringan di Penjara Taiping dan Penjara Tapah.

“Kes-kes ini sememangnya terasing dan tidak menjangkiti masyarakat. Sebanyak 11 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah sebanyak 465 kes.

Noor Hisham berkata, daripada 578 kes baharu di Sabah pada hari ini, 223 kes adalah daripada kluster-kluster, termasuk enam kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Tinusa dan Kluster Sauh, 210 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan 145 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.