- Wartawan Nabalu News
COVID-19: TEMPOH SINGKAT PESAKIT DIRAWAT 10 HARI

30 NOV 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Tempoh singkat pesakit Covid-19 dirawat dalam isolasi adalah 10 hari, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.
Beliau berkata, ini berdasarkan pemerhatian di kalangan para pesakit Covid-19 yang dirawat di negeri ini.
“Pesakit yang menjalani rawatan untuk tempoh yang lebih panjang biasanya disebabkan oleh faktor masalah kesihatan sedia ada seperti penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan sebagainya.
“Pesakit yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti ini juga berkemungkinan memerlukan bantuan alat pernafasan dan dialisis semasa rawatan akibat daripada komplikasi yang timbul,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata demikian ketika ditanya berapa lama seseorang pesakit sembuh dari Covid-19.
Dalam hal berkaitan, beliau berkata setakat ini belum ada bukti menunjukkan kejadian jangkitan semula (reinfection) Covid-19 di kalangan mereka yang dirawat di negeri ini.
“Jangkitan semula virus yang menyebabkan penyakit Covid-19 adalah amat jarang berlaku. Lebih banyak kajian perlu dijalankan untuk mengetahui dengan lebih mendalam berkenaan sifat penyakit ini,” katanya.