• nabalunews

COVID-19: TIGA KLUSTER DIKESAN DI SABAH, JOHOR - KP KESIHATAN


15 NOV 2020

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesan tiga lagi kluster baharu COVID-19 melibatkan dua di Sabah dan satu di Johor, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata di Sabah, Kluster Plaza di Kota Kinabalu yang membabitkan kes (ke-42,299) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 11 Nov dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, Institut Kemahiran MARA, Kota Kinabalu.

Beliau berkata hasil saringan kontak rapat telah mengesan 11 lagi kes positif COVID-19.

“Sehingga pukul 12 tengah hari ini, 19 individu disaring, dengan 12 kes dikesan positif COVID-19 termasuk 11 kes baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Kluster kedua di Sabah iaitu Kluster Jalan Kalabakan dikesan di Tawau melibatkan kes indeks (ke-31,309) yang dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 31 Okt dan dimasukkan ke Hospital Tawau.

Beliau berkata saringan kontak rapat telah mengesan 21 lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 12 tengah hari ini, 22 individu disaring, dengan kesemua 22 kes dikesan positif COVID-19  termasuk tiga kes baharu, katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata di Johor, Kluster Jeri dikesan di Kota Tinggi, Mersing, dan Muar membabitkan kes indeks yang dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), Singapura pada 6 Nov.

Beliau berkata saringan kontak rapat di Malaysia telah mengesan 26 kes positif COVID-19 dan kes-kes itu dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.

Sehingga tengah hari ini, beliau berkata 1,170 individu disaring, dengan 26 kes dikesan positif COVID-19 termasuk tiga kes baharu manakala 609 individu masih menunggu keputusan. – Bernama