SETIA Perkukuh Promosi Pelancongan Sabah ke Pasaran Antarabangsa

20 Oktober 2026
KOTA KINABALU: Persatuan Inovasi Pelancongan Sabah (Sabah Enhanced Travel Innovation Association – SETIA) terus memperkukuh usaha mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan antarabangsa menerusi pelbagai program pembangunan industri, misi jualan dan kerjasama strategik dengan pemain industri pelancongan.
Pengerusinya, Christina Wahida Kong berkata, antara pencapaian utama persatuan itu bagi penggal 2025–2026 ialah kejayaan menganjurkan misi jualan pelancongan ke Ho Chi Minh City, Vietnam yang melibatkan penyertaan 21 ejen pelancongan dari Sabah.
Beliau berkata, misi berkenaan mendapat liputan meluas media Vietnam, sekali gus membantu meningkatkan kesedaran mengenai Sabah sebagai destinasi pelancongan serta memperkukuh hubungan kerjasama industri pelancongan antara kedua-dua negara.
“Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada ahli, memperkasa komuniti tempatan, meningkatkan profesionalisme industri serta menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan Sabah yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SETIA Kali Kedua yang berlangsung di Hyatt Regency Kinabalu, di sini, pada 17 Oktober lalu.
Christina berkata, sejak ditubuhkan pada Mac 2025, SETIA terus memainkan peranan sebagai platform yang menghimpunkan penggiat industri pelancongan bagi memperkukuh jaringan kerjasama, berkongsi peluang perniagaan dan menyokong pembangunan sektor berkenaan.
Katanya, selain misi jualan ke Vietnam, SETIA turut melaksanakan beberapa program utama termasuk Program Pengangkatan Pelancongan Berasaskan Komuniti di Kota Marudu dan Misi Jualan Pelancongan Kesihatan ke Balikpapan, Indonesia.
“SETIA juga melaksanakan Program Latihan Pemanduan Defensif dengan kerjasama Sabah Skills & Technology Centre (SSTC) serta mendapat sokongan padu daripada Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
“Pelaksanaan program-program ini mencerminkan komitmen SETIA dalam meningkatkan keupayaan dan daya saing penggiat industri pelancongan, di samping memastikan komuniti tempatan turut mendapat manfaat daripada perkembangan sektor ini,” katanya.
Christina berkata, SETIA turut komited menyokong usaha pembangunan industri pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Sabah 2027 menerusi penganjuran lebih banyak program promosi destinasi, misi jualan, lawatan suai kenal, pembangunan produk pelancongan dan latihan profesional.
Menurutnya, kerjasama lebih erat dengan pelbagai pihak berkepentingan juga akan terus diperkukuh bagi memastikan Sabah kekal berdaya saing sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Beliau berkata, SETIA akan terus menggalakkan penyertaan aktif ahli, meneroka pasaran baharu serta membina perkongsian strategik bagi membantu pengusaha pelancongan menghadapi cabaran perubahan ekonomi global dan trend perjalanan semasa.
“SETIA akan terus berusaha memperkukuh ekosistem pelancongan Sabah melalui kerjasama erat dalam kalangan ahli dan rakan strategik, di samping membuka lebih banyak peluang perniagaan serta memastikan manfaat pembangunan pelancongan turut dinikmati masyarakat setempat,” katanya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua ahli SETIA, barisan jawatankuasa, agensi kerajaan, rakan industri dan pihak yang terus memberikan kepercayaan serta sokongan terhadap usaha persatuan itu.
Katanya, kejayaan yang dicapai sepanjang penggal 2025–2026 menjadi asas penting kepada SETIA untuk meneruskan pelbagai inisiatif yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan Sabah secara inklusif dan mampan.















Comments